Friday, November 14, 2014

Rusia kerah 4 kapal perang ke Australia


14 November 2014 1:11 AM




Kedudukan kapal perang Rusia yang ditempatkan di perairan antarabangsa berdekatan Papua New Guinea menjelang Sidang Kemuncak G20 di Brisbane, Australia pada hujung minggu ini. – AGENSI

SYDNEY 13 Nov. – Ketegangan hubungan diplomatik antara Canberra dan Moscow semakin memuncak apabila Rusia mengerahkan empat kapal perang yang dilengkapi senjata berat dan peluru berpandu berkuasa tinggi ke perairan antarabangsa berdekatan utara Australia.
Kemelut terbaharu itu timbul selepas pertemuan Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Perdana Menteri Australia, Tony Abbott pada sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di China, kelmarin tidak berakhir dengan baik ekoran isu tragedi MH17 yang didakwa turut melibatkan Moscow.
Putin enggan tunduk kepada permintaan Abbott yang mahu Rusia memohon maaf dan membayar ganti rugi kepada mangsa pesawat MH17, termasuk 28 rakyat Asutra­lia, yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.
Laksamana Tentera Udara Australia, Mark Binskin mengesahkan keha­diran keempat-empat kapal Rusia itu yang dikesan belayar di antara Papua New Guinea serta Kepulauan Solomon dan pihaknya menghantar pesawat P-3 Orion untuk melakukan pemantauan.
Apabila ditanya sebab Rusia menghantar kapal perangnya dekat perairan Australia menjelang Sidang Kemuncak G20 di Brisbane hujung minggu ini, Binskin menjawab, tindakan itu merupakan operasi biasa yang dijalankan Moscow, lebih-lebih lagi di perairan antarabangsa.
“Soalan berkaitan kerahan kapal perang itu sepatutnya diajukan kepada Rusia dan tugas kami buat masa ini memantau pergerakan mereka,” katanya seperti yang dilaporkan portal berita Mail Online.
Meskipun tindakan Rusia mengerahkan empat kapal pe­rangnya, Varyag, Shaposhnikov, Fotiy Krylov dan Boris Butoma ke Lautan Pasifik mencetuskan dakwaan bahawa Putin mahu mempamerkan kekuatannya kepada Australia, tetapi langkah itu bukan pertama kali dilakukan oleh Moscow.
Pada 2009, kapal perang Rusia dikerah ke perairan antarabangsa pada persidangan APEC di Singapura dan setahun kemudian, langkah yang sama dilaksanakan ketika bekas Presiden, Dmitry Medvedev mengunjungi San Francisco.
Buat masa ini, Rusia tidak membuat sebarang permintaan untuk berlabuh di Australia dan jika mahu berbuat demikian, Moscow perlu mengeluarkan notis sekurang-kurangnya dalam tempoh 48 jam.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/rusia-kerah-4-kapal-perang-ke-australia-1.24364#sthash.ocV9lMgh.dpuf

No comments:

Post a Comment