Gambar bertarikh 19 Julai lalu, menunjukkan kuntuman bunga dan anak patung ditempatkan penduduk tempatan di lokasi nahas pesawat MH17 di Kampung Grabove, timur Ukraine. – REUTERS
CANBERRA 13 Nov. - Siasatan membabitkan tragedi pesawat MH17 milik Malaysia Airlines (MAS) yang ditembak jatuh di timur Ukraine, Julai lalu, dilanjutkan sembilan bulan lagi.
Menteri Kehakiman Australia, Michael Keenan berkata, Canberra mengulangi komitmen mereka meneruskan siasatan itu, dalam satu kenyataan yang disiarkan hari ini, lapor agensi berita Xinhua.
“Kerajaan bertekad untuk bekerjasama selama mana yang diperlukan bagi membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan,’’ katanya.
Negara-negara anggota Pasukan Siasatan Bersama (JIT) yang turut dianggotai Malaysia, Belanda, Belgium, Ukraine dan Australia telah bersetuju dengan lanjutan siasatan nahas itu sehingga sembilan bulan yang akan berakhir pada Ogos tahun depan.
Australia buat masa ini menempatkan 35 anggota polis persekutuannya di timur Ukraine bagi membantu siasatan nahas yang berlaku pada 17 Julai lalu dan mengorbankan kesemua 298 penumpang dan krew termasuk 43 warga Malaysia.
Anggota polis merupakan antara mereka yang terlibat dalam proses siasatan nahas itu yang berlangsung secara perlahan ekoran konflik bersenjata berterusan di timur Ukraine antara tentera negara tersebut dengan pemberontak pro-Rusia.
“Situasi keselamatan berhampiran lokasi nahas kekal tidak stabil. Sebarang keputusan untuk kembali ke sana adalah menerusi satu keputusan bersama rakan-rakan JIT iaitu bila keadaan selamat untuk berbuat demikian.
“Australia terus menggalakkan masyarakat antarabangsa untuk kekal fokus pada usaha mencari, mendakwa dan menghukum pihak yang melakukan serangan pengecut ini,’’ tambah Keenan. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment