SYDNEY 19 Nov. – Kerajaan Australia mengumumkan tidak akan menerima kemasukan mana-mana pencari suaka ke negara ini, termasuk pencari suaka yang sudah berdaftar dengan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR).
Menteri Imigresen, Scott Morrison berkata, berkuat kuasa Julai depan, pencari suaka yang sudah diiktiraf oleh UNHCR di Jakarta
tidak lagi layak
ditempatkan semula
di Australia.
Katanya, tindakan tersebut diambil bagi menghapuskan aktiviti pemerdagangan manusia
dan menghentikan
Indonesia daripada terus dijadikan sebagai negara transit.
“Kami tidak mahu lagi memberi muka kepada pencari suaka ini. Kami mahu menghapuskan persepsi `tidak mengapa jika ditahan di Indonesia kerana boleh dijadikan transit untuk ke Australia’,” jelas Morrison.
Australia mula memperketatkan polisi imigresennya pada tahun lalu selepas Tony Abbott menjadi Perdana Menteri dengan melaksanakan tindakan menyekat bot-bot pencari suaka daripada mendekati perairannya, sebelum menghantar mereka ke kem penempatan di Papua New Guinea dan Pulau Nauru.
Tambah Morrison, tindakan lebih tegas akan diambil ke atas pencari suaka pada masa akan datang.
“Sejak sembilan dan 10 bulan lalu pencari suaka gagal untuk memasuki Australia dan kami tahu penyeludup akan terus menggalakkan kemasukan mereka ke Indonesia sebelum bergerak menuju ke Australia.
“Tindakan terbaharu ini diyakini dapat mengurangkan kemasukan pencari suaka ke Indonesia, sekali gus menyelesaikan terus masalah tersebut,” ujarnya. – AFP
No comments:
Post a Comment