Oleh Rosli Mansor Ahmad Razali
am@hmetro.com.my
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/10402#sthash.eZeNVldq.dpuf
am@hmetro.com.my
Ipoh: Hampir setahun masa remajanya dihabiskan di rumah akibat sakit tulang belakang sebelum disahkan mengalami penyakit ketumbuhan dalam kepala, menyebabkan Nur Athirah Ayu Suhardy, 16, kini hanya terlantar di atas katil di kediamannya di Taman Klebang Restu.
Paling menyedihkan apabila dua adiknya turut mengalami nasib hampir sama dan berdepan masalah kesihatan yang kronik.
Nur Ameera Aisyah Suhardy, 10, anak ketiga mengalami penyakit asma yang serius sejak 2012, manakala Muhammad Airel Daniel, lapan tahun iaitu anak keempat, mengalami pelbagai penyakit seperti komplikasi buah pinggang, darah tinggi, saluran jantung dan penyakit saraf (glaukoma) pada mata sebelah kiri.
Bapa tiga beradik terbabit, Suhardy Che Omar, 40, berkata, Athirah iaitu anak pertama daripada lima beradik menjalani pembedahan di bahagian kepala bagi membuang ketumbuhan sebesar lima sentimeter di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada 3 Oktober lalu.
“Kesan daripada ketumbuhan itu, Athirah mengalami kesakitan yang kronik. Namun sejak dua bulan yang lalu dia mengalami sakit kepala yang amat teruk, lemah badan dan muntah-muntah,” katanya.
Menurut Suhardy, selepas menjalani pembedahan, keadaan Athirah beransur baik, malah boleh baring tanpa rasa sakit di bahagian belakang badannya, tetapi tangan kirinya tidak dapat digerakkan sepenuhnya.
Dia ditemani isterinya, Zalifah Mustafa, 37, ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Klebang Restu, semalam.
Menurut Suhardy, dia menerima bantuan bulanan dari Majlis Agama Islam Perak (MAIP) RM350 sebulan bagi menampung kos perubatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM450 sebulan.
Suhardy yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan, diberhentikan kerana tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pekerjaan.
“Saya terpaksa melupakan pekerjaan kerana masa saya banyak dihabiskan untuk menguruskan anak-anak saya yang sakit,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 08100-41-00011038-4.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:22 AM
No comments:
Post a Comment