CIKGU SIDEK BABA
20 November 2014
ISLAMOFOBIA adalah suatu gambaran kegentaran atau ketakutan terhadap Islam yang sedang berlaku di Barat, malah di dunia. Kebangkitan Islam yang sedang berlaku kini dilihat sebagai suatu ancaman kerana ia tidak selari dengan pendekatan pascamodenisme yang mereka anjurkan.
Barat dikatakan melepasi tempoh modenisme dan berada dalam zaman pascamodenisme. Falsafah modenisme mendukung faham rasionalisme secara mutlak sebagai asas kebenaran. Agama tidak ada peranan dalam proses kemajuan dan perubahan.
Lalu sesuatu yang berlaku dalam kalangan umat Islam dalam memperjuangkan agamanya dianggap memutar kembali jarum jam ke belakang, ketinggalan zaman dan melakukan dogma dan tahyul yang tidak ada asas saintifiknya. Sebab itu label-label fundamentalis, teroris dan ekstremis dilontarkan kepada Islam kerana dikatakan Islam bersikap antagonistic (penentang) terhadap kemajuan Barat.
Barat tahu bahawa Islam dan tamadunnya adalah suatu khazanah. Kemajuan di Barat suatu ketika dulu dicerahkan oleh Islam bila karya-karya besar Islam dalam bidang sains, perubatan, matematik, astronomi dan lain-lain diterjemahkan ke dalam bahasa Latin, Hebrew dan Ibrani dan menyebabkan reformasi, renaisans dan revolusi industri terjadi.
Barat juga tahu bahawa di perut bumi negara umat Islam terdapat kekayaan hasil seperti minyak, gas, air bawah tanah, uranium dan thorium sebagai sumber tenaga yang amat diperlukan di Barat. Sekiranya umat Islam bangkit dengan sistem pendidikan yang integratif sumber modal insan akan memanfaatkan sumber hasil bumi yang banyak. Telah sekian lama sumber ini menjadi mangsa eksploitasi kuasa-kuasa Barat untuk keperluan pembangunan ekonomi dan kemajuan negara mereka.
Mereka tahu bahawa Islam bukan sekadar Suatu Sistem Kepercayaan tetapi juga Suatu Cara Hidup. Di Eropah sendiri pengaruh Islam dan kehadiran semakin ramai orang-orang Islam meresahkan mereka. Ada statistik pada tahun 2011 menunjukkan kadar kelahiran orang-orang Islam di bandar-bandar besar di United Kingdom mengatasi jumlah kelahiran orang-orang Kristian. Bayangkan dalam tempoh 50 tahun mendatang umat Islam boleh mengatasi orang Bukan Islam dan ia menyebabkan Islamofobia semakin meningkat.
Kuasa-kuasa Besar sedang melakukan adu domba di Mesir, Syria, Iraq, Libya, Tunisia supaya umat Islam terus lemah dan berpecah. Isu Palestin tidak mampu dileraikan oleh Bangsa-bangsa Bersatu dan Israel terus mengganas dengan kejamnya terhadap umat Islam di sana.
Pada hemat penulis pertembungan tamadun (clash of civilization) ini tidak patut berlaku. Islam bukan agama yang anti kemajuan seperti sains dan teknologi. Islam mengaturkan kehidupan lebih manusiawi. Fitrah kehidupan manusia baik di Barat mahupun di Timur akan mencari kebenaran dan keadilan yang hakiki dalam hidup ini.
Apa makna bangunan pencakar langit sedangkan akhlak manusia mencecah bumi. Apa makna sistem ekonomi kapitalis yang menyebabkan eksploitasi dan monopoli melampau berlaku. Apa makna suatu sistem pendidikan dan ilmu yang hanya bersifat duniawi tetapi tidak mementingkan nilai dan agama.
Hal-hal ini yang menjadi isu umat manusia. Bila Islam menawarkan Suatu Order Baru Dunia iaitu mengembalikan semula manusia secara manusiawi bukannya haiwani ia menimbulkan ketakutan kepada Barat.
Fitrah manusia akan terus mencari sesuatu yang lebih bermakna dalam hidupnya. Hidup lepas bebas dengan budaya LGBT yang membuas bukan jawapan terbaik dalam membina pola hidup. Justeru kedatangan Islam tidak harus ditakuti tetapi harus diraikan kerana ia adalah agama hari depan umat manusia. Integrasi nilai dan etika kepada proses pembangunan manusia dan sistem adalah sesuatu yang ditunggui sekian lama. Kehadiran Islam di Barat harus dilihat secara positif.
No comments:
Post a Comment