Dun Kelantan hari ini bentang hudud
Kerajaan Kelantan hari ini membentangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) pada sidang Dun Kelantan. - Foto ihsan Pejabat Menteri Besar Kelantan
SHAH ALAM – Kerajaan Kelantan pimpinan Pas hari ini membentangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) pada sidang Dun Kelantan bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di negeri itu.

Usul pindaan enakmen itu yang dibacakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob selama hampir 45 minit itu kini mula dibahaskan dengan penyertaan seramai 45 Adun Kelantan.

Selepas draf pindaan enakmen itu dibahaskan, ia seterusnya akan menjalani proses undian sama ditolak atau disokong bagi membolehkan Kerajaan Kelantan melaksanakan hukum hudud di negeri itu.

Bagaimanapun, Kerajaan Kelantan bakal berdepan laluan mudah apabila majoriti Adun Kelantan adalah dari Pas iaitu seramai 32 orang manakala 12 lagi Umno dan seorang PKR.

Terdahulu, Kerajaan Kelantan menangguhkan hasratnya untuk membentang pindaan enakmen itu pada sidang khas Dun Kelantan pada 29 Disember lepas susulan negeri itu terjejas teruk akibat banjir besar.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Pindaan Enakmen Jenayah Syariah tetap dilakukan ]

Pas Kelantan juga pernah melupakan hasratnya membawa Rang Undang-Undang Persendirian (RUU) mengenai Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 ke Dewan Rakyat pada Jun tahun lalu bagi membolehkan penubuhan Jawatankuasa Teknikal antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Kelantan.

April tahun lalu, Ahmad yang juga Adun Pasir Pekan mengumumkan ahli Parlimen Pas Kelantan akan membawa RUU Persendirian ke Dewan Rakyat pada sesi akan datang bagi membolehkan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 Kelantan seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun pengumuman itu mendapat tentangan hebat dari DAP manakala, Umno pula menyokong cadangan tersebut biarpun rakan mereka, MCA tidak bersetuju.