rafizi ramli
Rafizi Ramli
SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli membidas dakwaan mengatakan pendedahan beliau mengenai penyelewengan syarikat pelaburan nasional 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengelirukan rakyat.

Sebaliknya beliau menegaskan penyokong Umno sendiri yang dikelirukan oleh pemimpin mereka menerusi cybertroopers pro-kerajaan.

"Datuk Khairul yang keliru, bukan orang kampung, bukan tajuk apa di sebalik Rafizi, itu pengikut-pengikut Umno yang buat setiap hari," katanya pada Wacana Sinar Harian yang bertajuk ‘Apa di Sebalik 1MDB’ di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini hari ini.

1MDB bermula sebagai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), yang ditubuhkan pada 2008, dan dinamakan sebagai 1MDB pada Januari 2009.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2010 mengumumkan 1MDB akan mewujudkan dana tanggungjawab sosial korporat berjumlah RM100 juta sebagai permulaan untuk membiayai aktiviti masyarakat.

Rafizi yang juga setiausaha agung PKR turut mempertahankan dirinya apabila diserang secara peribadi yang mempertikaikan pendedahan beliau berbanding keupayaan menguruskan syarikat berbilion ringgit.

"Kalau sebut orang yang mengkritik itu tiada pengalaman menguruskan syarikat berbilion, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh boleh dikritik kerana tidak pernah menguruskan syarikat berbilion ringgit.

"Kritikan mereka adalah untuk melahirkan kebimbangan terhadap kewangan 1MDB dan kesan kepada kerajaan.

"Kita tidak pernah persoalkan lembaga pengurusan 1MDB tetapi pertikaikan seorang yang tiada dalam syarikat itu tetapi boleh menetapkan kepentingan syarikat," katanya lagi.