Wednesday, March 18, 2015

Polis Buka Semula Siasatan Kes Kematian Teoh Beng Hock


Diterbitkan: Selasa, 17 Mac 2015 8:07 AM
  (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Polis akan membuka semula siasatan serta merta dan menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes kematian Teoh Beng Hock.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata ia akan dibuka semula selepas mendapat arahan Jabatan Peguam Negara dan siasatan menyeluruh juga masih dijalankan.
"Justeru, tidak timbul isu pihak berkuasa, khususnya pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) dalam kes ini tidak mengambil sebarang tindakan atau ingkar arahan Mahkamah Rayuan.
"Bagi memastikan keadilan kepada semua pihak, termasuk keluarga mendiang Beng Hock, PDRM memerlukan masa untuk menjalankan siasatan dari pelbagai sudut," katanya dalam kenyataan pada Isnin. 
Mahkamah Rayuan pada September tahun lalu menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya itu akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.
Mengulas lanjut, Khalid berkata pihaknya dari semasa ke semasa akan turut memaklumkan kepada pendakwaraya berhubung status hasil siasatan yang sedang dijalankan.
Justeru, katanya, semua pihak diharap memberi kerjasama bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan dengan baik dan tidak mempolitikkan isu ini.
"Diingatkan juga supaya (semua pihak) tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat dan menjejaskan reputasi agensi penguatkuasa," katanya.

No comments:

Post a Comment