DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
18 Mac 2015
HARI ini merupakan hari bersejarah buat seluruh negara dan negeri Kelantan secara khususnya. Ini kerana hari ini Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) atau lebih mudah difahami iaitu Rang Undang-Undang berkaitan Hukuman Hudud akan dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan.
Saya percaya Rang Undang-Undang berkaitan Hudud ini (selepas ini akan disebut RUU Hudud dalam artikel ini) tentu sekali akan disokong penuh oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri tidak kira daripada Pas mahupun Umno.
Ini kerana sebagai orang Islam kita wajib beriktikad dari segi akidah bahawa hukum hudud merupakan hukum ALLAH yang disyariatkan. Namun ini tidak bererti RUU Hudud ini sunyi daripada kelemahan.
Malah semenjak pertama kali dibentang dan diluluskan pada tahun 1993, banyak sekali kelemahan RUU Hudud tersebut yang dikritik oleh para cendekiawan, ulama, termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir.
Walau bagaimanapun, kritikan-kritikan yang dilontarkan tidaklah bermakna mereka ini menolak hukum hudud sebagai hukum ALLAH. Ini kerana terlalu banyak kelemahan dalam RUU Hudud 1993 yang jika dilaksanakan tentu sekali akan menyerlahkan kelemahan dan ketidakadilan Islam.
Sedangkan hukum hudud jika difahami falsafah dan matlamatnya tidaklah bertujuan menghukum semata-mata. Ia merupakan satu bentuk undang-undang pencegahan hingga mencetuskan kegerunan dalam diri setiap penjenayah yang ingin melakukan kesalahan-kesalahan khusus yang terkandung dalam hudud terutamanya zina, menuduh zina (qazaf), mencuri, merompak, minum arak, murtad dan bughah.
Malah jika diperhalusi dan dihayati mengenai hukuman hudud ini seolah-olah ALLAH tidak menginginkan hukuman itu dilaksanakan lantaran prosedur dan kaedah penjatuhan hukum yang teramat ketat.
Sebagai contoh, jenayah zina hanya boleh dihukum jika empat orang saksi yang adil dan tidak fasik (orang melakukan maksiat dan dosa) benar-benar menyaksikan perbuatan zina sehinggakan disebut dalam kitab-kitab fekah perumpamaannya seperti perbuatan pedang dimasukkan ke dalam sarungnya.
Jika difikirkan secara logik akal, adalah amat mustahil untuk kita mendapatkan empat saksi yang tidak berkecenderungan buat dosa dan maksiat dapat menyaksikan perbuatan zina sebagaimana syarat ketat yang digariskan.
Sebab itulah terlalu banyak kelemahan yang dibangkitkan terhadap RUU Hudud 1993 hingga mengundang pelbagai fitnah dan persepsi hingga mencalarkan imej hudud sebagai hukuman yang indah lagi adil.
Mujurlah akhirnya kerajaan Pas akur jua dengan kelemahan-kelemahan ini hingga melakukan banyak pindaan dan penambahbaikan terhadap RUU Hudud yang akan dibentangkan hari ini.
Antara yang akan dibentangkan hari ini, turut memasukkan 20 syarat tambahan yang perlu dipatuhi sebelum hukuman mencuri boleh dijatuhkan. Begitu juga dalam konteks tempoh masa proses memujuk dan memberi masa lama untuk mereka yang murtad bertaubat dan kembali semula kepada Islam berbanding 3 hari yang digariskan dalam RUU sebelum ini. Dalam RUU ini juga dimasukkan dengan lebih jelas peruntukan mengenai liwat dan kes-kes yang bersangkutan dengan rogol.
Banyak lagi jika hendak disebutkan secara satu persatu dalam kolum penulis yang terbatas ini. Cuma beberapa persoalan turut bermain di pemikiran penulis. Mengapakah kerajaan Pas Kelantan tampak begitu tergesa-gesa untuk membentangkan RUU Hudud dalam sidang Dewan pada kali ini.
Sedangkan secara tertibnya penulis pasti kerajaan Pas amat arif bahawa lebih molek jika dibawa ke Parlimen terlebih dahulu untuk dipinda beberapa perkara termasuk Perkara 76A yang memperuntukkan kuasa Parlimen bagi memperluas kuasa perundangan negeri.
Kuasa perundangan negeri khususnya kuasa mahkamah syariah negeri-negeri ketika ini hanya terhad kepada hukuman jenayah syariah seperti zina, qazaf, minum arak dan murtad yang tidak boleh melebihi denda RM5,000 atau penjara 3 tahun atau 6 kali sebatan.
Justeru jika hudud ingin dilaksanakan secara sempurna sudah tentulah pindaan perlu dibuat bagi meluaskan kuasa mahkamah syariah menjatuhkan hukuman kepada satu tahap yang ditetapkan oleh syarak seperti 80 atau 100 kali sebatan.
Begitu juga lebih manis dan tertib jika dibawa terlebih dahulu kepada Majlis Raja-raja yang bertanggungjawab dan mempunyai kuasa penuh dalam hal ehwal agama Islam sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Harapan penulis agar hudud ini tidak lagi menjadi bahan komoditi perpolitikan yang hanya akan merosakkan imej Islam. Moga-moga rakan-rakan Pas dalam Pakatan terutamanya DAP dan PKR akan turut merestui niat baik Pas untuk melaksanakan amanah agama.
* Penulis Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
No comments:
Post a Comment