Putera Harry yang kini berusia 30 tahun berkata, keputusannya meninggalkan kerjaya itu pada Jun ini adalah satu ‘keputusan yang sangat sukar’ tetapi beliau melihat lebih jauh untuk menempuh kehidupan baharunya.
Keputusan untuk menamatkan perkhidmatan sebagai anggota tentera juga menimbulkan kejutan kepada semua pihak, selepas Harry sebelum ini meninggalkan impian zaman kanak-kanaknya untuk menjalani kehidupan sebagai anggota tentera.
Harry akan menamatkan khidmatnya selepas dipinjamkan oleh Angkatan Pertahanan Australia selama empat minggu mulai bulan depan dan Mei ini.
“Saya telah menimbangkan pilihan untuk masa depan saya, dan saya sangat teruja dengan keputusan ini,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Kensington.
Selepas menamatkan perkhidmatan, Harry akan mengadakan lawatan rasmi ke New Zealand dan menghabiskan masa melakukan kerja-kerja sukarela di Afrika.
Sebelum akhir tahun ini, Harry akan mula menjadi sukarelawan dengan Kementerian Pertahanan Britain dan menyokong kerja-kerja pemulihan serta menyertai aktiviti sosial.
Harry, sebelum ini menamatkan latihan di Akademi Tentera Sandhurst dan berkhidmat sebanyak dua kali di Afghanistan.
“Saya menganggap diri saya seorang yang bertuah kerana berpeluang melakukan beberapa pekerjaan yang mencabar dan telah bertemu dengan ramai orang yang hebat,” ujarnya. – AGENSI