Pelancar Roket BUK dibina Rusia yang dipercayai digunakan untuk menembak jatuh pesawat MH17. AGENSI
LONDON 22 Mac - Pasukan penyiasat percaya, gambar asap putih yang diambil beberapa minit selepas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 terhempas di Ukraine, menjadi bukti penting kapal terbang itu ditembak jatuh oleh pelancar roket Rusia.
Mail Online melaporkan, gambar yang diterbitkan oleh akhbar berkenaan tahun lalu merupakan kunci kepada segala jawapan bagi merungkai misteri siapa menembak pesawat berkenaan sehingga mengakibatkan 298 orang penumpang dan anak kapalnya terkorban.
Penyiasat Belanda dan Australia percaya, gambar itu merupakan bukti kukuh bahawa pesawat MH17 ditembak jatuh oleh pelancar Roket BUK yang dibina oleh Rusia.
Pasukan penyiasat turut menemubual jurugambar yang mengambil gambar tersebut dari atas bumbung pangsapurinya di Torez, kira-kira 4.8 kilometer dari kawasan di mana roket itu dipercayai dilancarkan.
“Jurugambar itu kini berada dalam jagaan pasukan keselamatan Ukraine selepas bimbang nyawanya diancam bahaya. Kami turut mengambil kameranya untuk dijadikan sebagai bahan bukti,” kata seorang penyiasat.
Hasil analisis yang dijalankan mendapati, gambar berkenaan dirakam pukul 4.25 petang pada 17 Julai lalu, dengan pesawat MH17 dilaporkan ditembak pada 4.21 petang.
Jurugambar itu yang enggan mendedahkan namanya berkata, ketika kejadian dia mendengar bunyi bom yang sangat kuat.
“Ketika itu saya berada di rumah. Saya terdengar bunyi yang sangat kuat dan kebetulan kamera ada di sebelah saya. Saya tidak sangka gambar asap yang saya ambil datangnya dari sebuah pelancar roket,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment