Monday, March 23, 2015

Ku Nan: Hudud PAS 'hudud politiklah'




Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyifatkan rang undang-undang persendirian berkaitan hudud mahu dibentangkan PAS di Parlimen sebagai “hudud politik”.

Ditanya pendirian BN  berhubung hasrat PAS itu, beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu tidak lama lagi.

Bercakap kepada media selepas sebuah acara di Putrajaya hari ini, Tengku Adnan, yang juga menteri Wilayah Persekutuan, menegaskan bahawa PAS harus mengikuti Perlembagaan Persekutuan.

Ditanya sama ada usaha PAS bertentangan dengan perlembagaan, beliau hanya menjawab “hudud PAS hudud politiklah”.

Menteri BN dan perdana menteri setakat ini masih belum menyentuh berhubung pendirian mereka dalam isu itu walaupun anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Kelantan menyatakan sokongan pada usaha PAS itu.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii mendakwa Tengku Adnan diifitnah portal berita ini dalam laporannya.

“Sasaran mereka kali ini Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula difitnah apabila editor portal terbabit sengaja menggunakan tajuk artikel yang berbunyi 'Ku Nan: Hudud PAS 'hudud politiklah'.

“Portal Malaysiakini menjadi seperti ular kena sawan apabila melihat bibit-bibit penyatuan umat Islam semakin ketara hari ini dan mereka sengaja mencari perkataan yang boleh mewujudkan ketegangan hubungan sesama Islam.

“Hasilnya sebuah artikel provokasi yang seakan tergantung kenyataan menteri Wilayah Persekutuan ini telah diterbitkan,” katanya.[Baca berita asal]

No comments:

Post a Comment