ANGGOTA forensik Thailand memeriksa rumah salah seorang mangsa terbunuh dalam serangan di Narathiwat pada malam Ahad lalu. AGENSI
BANGKOK 14 April – Sebanyak tujuh orang maut termasuk seorang pegawai kesihatan tempatan dalam dua kejadian serangan berasingan di wilayah Narathiwat dan Yala di selatan negara ini.
Dalam kejadian di Mukim Moo 12 di daerah Sukhirin, Narathiwat, enam penduduk kampung maut dalam dua insiden tembakan berasingan di dua buah rumah yang terletak hanya beberapa meter antara satu sama lain, malam kelmarin.
Portal Bangkok Post melaporkan, dalam kejadian itu sebanyak empat orang terbunuh selepas diserang kumpulan yang bersenjatakan raifal M16 yang kemudiannya bertindak membakar mayat mangsa.
Kejadian itu disedari pembantu ketua kampung, Ahama Arwae yang kemudiannya meminta penduduk membantu memadamkan kebakaran sebelum menghubungi Ketua Polis Narathiwat, Mejar Jeneral Pattanawut Angkanawin dan Gabenor wilayah, Nattapong Sirichana yang kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
Polis kemudiannya menemukan dua lagi mayat di sebuah rumah yang jaraknya 20 meter dari rumah pertama serta menemui lapan kelongsong peluru M16.
Polis masih menyiasat motif serangan tersebut.
Menurut saksi, penyerang terdiri daripada 12 orang yang kemudiannya berpecah kepada dua kumpulan sebelum melakukan serangan itu.
Sementara itu, dalam kejadian lain di daerah Rueso, Narathiwat, seorang pegawai kesihatan maut sejurus dia tiba di sebuah sekolah untuk melakukan pemeriksaan, pagi semalam selepas diserang dua lelaki bersenjata yang menaiki sebuah motosikal.
Mangsa meninggal dunia di hospital dan polis menemui lapan kelongsong peluru dari sepucuk pistol 9mm di tempat kejadian.
No comments:
Post a Comment