Wednesday, April 15, 2015

Rusia bekal peluru berpandu S-300 kepada Iran



BEBERAPA buah trak Rusia membawa peluru berpandu S-300 dalam satu raptai perarakan di Moscow pada Mei 2009.


MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin membatalkan larangan membekalkan sistem pertahanan peluru berpandu canggih S-300 kepada Iran kelmarin selepas Teheran mencapai satu persetujuan berhubung rundingan program nuklearnya dengan Barat.
Perkembangan itu mencetuskan kecaman Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Satu dekri yang ditandatangani Putin memberi lampu hijau untuk penghantaran peluru berpandu itu ke Iran sekali gus menamatkan larangan pembekalan peluru berpandu darat ke udara yang dikuatkuasakan sendiri oleh Moscow.
Langkah itu dilakukan sebelum sekatan Barat ke atas Iran ditarik balik susulan perjanjian antara Teheran dan enam kuasa dunia pada 2 April lalu yang bertujuan mengekang cita-cita nuklear republik Islam itu. Run­dingan berbentuk teknikal berhubung perjanjian sama akan disambung minggu hadapan.
Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov bertegas bahawa penghantaran peluru berpandu itu tidak termasuk dalam sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Sistem peluru berpandu itu untuk pertahanan dan tidak mengancam musuh Iran,” katanya.
Walaupun bukan sistem peluru berpandu paling canggih, S-300 dapat mengukuhkan pertahanan Iran dalam menentang sebarang serangan ke atas lokasi nuklearnya.
Perkembangan itu mendorong Setiausaha Negara AS, John Kerry menyuarakan kebimbangannya dalam satu panggilan telefon kepada Lavrov.
“Kami berpendapat Iran mengucar-ngacirkan rantau Arab seperti di Yemen, Syria atau Lebanon. Sekarang bukan masa yang sesuai untuk menjual sistem peluru berpandu ini kepada mereka,” kata pemangku jurucakap Jabatan Negara, Marie Harf.
Israel yang menentang perjanjian nuklear Iran mengecam keputusan Rusia yang disifatkan sebagai bukti bahawa Teheran menggunakan perjanjian itu untuk mempersenjatai negara itu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0415&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3XLfh2XMj 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment