PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disaran supaya membuat kajian telus terhadap had umur yang ditetapkan bagi membolehkan pencarum mengeluarkan wang simpanan mereka.
Pengerusi SukaGuam Khairul Anwar Rahmat berkata, satu kaji selidik telus perlu dijalankan bagi mengelakkan wujudnya persepsi buruk di kalangan rakyat bahawa institusi itu mempunyai agenda tersembunyi terhadap wang tabungan persaraan rakyat.
"Saya sarankan KWSP mengutamakan kepentingan rakyat terutama pencarum dengan membuat tinjauan atau kaji selidik telus untuk mengetahui apa yang sebenarnya diinginkan pencarum.
"Usia 60 tahun adalah terlampau lewat bagi seseorang menikmati hasil penat lelah dan tabungan. Ia akan mewujudkan persepsi yang salah di kalangan rakyat bahawa KWSP mempunyai agenda tersembunyi untuk 'menyimpan' wang tabungan persaraan itu bagi tujuan tertentu," katanya dalam satu kenyataan, Rabu.
Menurut beliau, wang tabungan KWSP mestilah menjamin keselesaan hidup para pencarum, bukannya menjadi modal pusingan bagi pelaburan di pihak KWSP semata-mata.
"Jangan sampai masyarakat menilai KWSP dengan pelbagai andaian bak kata pepatah 'pepat di luar, runcing di dalam' yang bermaksud baik dari segi lahirnya tetapi mengandungi niat tidak baik," katanya.
Menurut beliau, adalah lebih baik pencarum diberi pilihan untuk mengeluarkan simpanan mereka pada kadar tertentu pada setiap takat umur.
"Contohnya 20 peratus pada usia 45 tahun, 20 peratus lagi pada usia 50 tahun dan pengeluaran sepenuhnya pada usia 55 tahun," katanya.
Jelasnya, banyak keperluan diperlukan bagi setiap takat umur berkenaan iaitu untuk tujuan sara hidup, pendidikan tinggi anak-anak, perubatan, melangsaikan hutang rumah dan kenderaan serta pelbagai perbelanjaan luar jangka lain.
No comments:
Post a Comment