Perunding di Pejabat Kementerian Pertahanan Arab Saudi, Brigadier Jeneral Ahmad Al-Assiri berkata, rayuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya tindakan ketenteraan dihentikan sementara bagi membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan sepatutnya ditujukan kepada kumpulan itu yang membunuh orang awam dan menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan.
Gesaan itu, katanya, sepatutnya tidak ditujukan kepada tentera pakatan.
“Setakat ini keadaan semakin baik, tentera pakatan terus menggempur kumpulan pemberontak dan penyokong mereka,’’ katanya sebagaimana dilapor portal Arab News.
Assiri berkata, pemberontak Houthi sedang melarikan diri dan bersembunyi di kawasan pergunungan dan lembah yang membuatkan mereka lebih terdedah kepada serangan tentera pakatan bagi menyekat kemaraan mereka ke Aden.
Malah, dakwanya, kumpulan pemberontak itu dan sekutu mereka yang setia dengan bekas Presiden Ali Abdullah Saleh menggunakan taktik tidak bermoral termasuk mempertaruhkan nyawa manusia.
Assiri berkata, serangan ke atas pemberontak Houthi tidak akan berhenti sehingga kumpulan itu menyerah diri kepada kerajaan Yemen yang sah pimpinan Presiden Abdrabbuh Mansour Hadi.
Sementara itu di New York, Maj­lis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi mengenakan sekatan senjata ke atas pemberontak Houthi serta menggesa pemberontak itu berundur dari kawasan-kawasan yang mereka tawan.
Rusia tidak mengundi ketika rersolusi itu tetapi tidak menggunakan kuasa veto untuk membatalkan keputusan itu.
Resolusi itu disokong 14 daripada 15 negara anggota Majlis Ke­selamatan. – AFP