Thursday, July 30, 2015

Afghanistan siasat dakwaan ketua Taliban, Mullah Omar mati




KABUL – Kerajaan Afghanistan sedang menyiasat beberapa laporan baharu bahawa ketua kumpulan militan Taliban, Mullah Omar (gambar) meninggal dunia, kata seorang jurucakap semalam.
Kumpulan Taliban masih belum mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan tersebut yang dibuat oleh beberapa sumber utama dalam pentadbiran dan agensi perisikan Afghanistan.
Menurut mereka, ketua militan berkenaan meninggal dunia sejak dua atau tiga tahun lalu.
Laporan terbaharu itu dipandang lebih serius daripada beberapa laporan sebelumnya dengan pihak Taliban dijangka membuat kenyataan mengenainya dalam masa terdekat.
“Sebaik sahaja kami menerima lebih banyak bukti, kami akan memaklumkannya kepada pihak media dan rakyat Afghanistan mengenai perkara ini,” kata Sayed Zafar Hashemi yang merupakan jurucakap Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani.
Kumpulan Taliban memperoleh banyak kemenangan semasa diketuai oleh Mullah Omar.
Dia dikatakan mempunyai parut pada mata kanannya akibat luka terkena serpihan.
Kumpulan Taliban yang diketuai Mullah Omar memperoleh banyak kemenangan semasa berperang dengan militia-militia lain dalam perang saudara selepas tentera Kesatuan Soviet berundur dari Afghanistan.
Perikatannya dengan ketua al-Qaeda, Osama Bin Laden mendorong Amerika Syarikat dan sekutunya menjajah Afghanistan pada 2001 selepas serangan pengganas ke atas New York dan Washington pada 11 September 2001.
Sejak itu, Mullah Omar menyembunyikan diri, manakala Washington menawarkan ganjaran AS$10 juta (RM38.1 juta) untuk penangkapan atau pembunuhannya. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0730&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3hK05XaOJ 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment