Thursday, July 30, 2015

Pemuda Umno Labis minta Najib rehat

MOHAMAD NORZAHARUDDIN KASIMON LABIS - Pemuda Umno Bahagian Labis bersependapat bahawa adalah tidak wajar empat ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dibawa masuk ke dalam barisan Kabinet yang baharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketuanya, Mohd Shahir Ali Huddin berkata, ini kerana mereka sedang terlibat di dalam penyiasatan satu kes besar di peringkat nasional dan pengguguran Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail juga adalah suatu yang mengejutkan.

Najib Tun Razak
“Bagi kami tidak wajar beberapa ahli PAC dibawa masuk ke dalam barisan kabinet dan situasi ini mewujudkan satu lagi persepsi buruk rakyat terhadap kredibiliti siasatan yang sedang dijalankan dan kami meminta Datuk Seri Najib berehat bagi melicinkan proses siasatan. “Pada pandangan kami, Datuk Seri Najib pasti mengetahui bahawa rakyat tidak akan mempercayai apa juga keputusan siasatan yang dijalankan kerana apa sahaja jawatankuasa atau ‘task force’ yang diwujudkan masih tertakluk kepadanya sebagai Ketua Eksekutif  Negara,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pemuda Umno Bahagian Labis di Bilik Mesyuarat Pemuda Umno Bahagian Labis, di sini, malam semalam.

Menurutnya, mereka juga menerima serta menghormati keputusan yang dibuat Najib yang menggugurkan bekas timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yasin kerana beliau sebagai Ketua Eksekutif Negara berhak untuk menamakan atau menggugurkan mana-mana ahli Kabinet.

Katanya, hasil dari mesyuarat khas seluruh kepimpinan di peringkat cawangan Labis juga sependapat bahawa apa yang dinyatakan Muhyiddin hanyalah meminta penjelasan tentang isu-isu semasa yang berlegar di kalangan rakyat dan ahli Umno khususnya.

“Maka, boleh disimpulkan bahawa kenyataan tersebut adalah bersifat untuk memperkukuhkan parti di dalam menghadapi PRU14 yang akan datang. Serangan demi serangan jelas dilihat tidak ditujukan kepada parti, tetapi kepada individu.

“Kami di peringkat akar umbi juga akan terus bekerja keras untuk memastikan BN terus berkuasa dan memerintah negara walaupun pelbagai isu nasional yang begitu lambat ditangani semakin menghakis kepercayaan golongan muda terhadap kerajaan pada hari ini,” katanya.

Menurutnya, mereka juga berharap agar siasatan terhadap segala tohmahan dan serangan kepada pucuk pimpinan negara akan dapat diselesaikan dengan segara agar rakyat mendapat penjelasan yang tepat.

Pada masa sama, Najib juga perlu memikirkan cara yang terbaik untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap persepsi buruk yang terpalit kepada dirinya agar dapat mengembalikan semula keyakinan rakyat dan juga pengundi.

“Kami berharap agar segala tindakan dan keputusan yang telah dan akan dilakukan oleh Datuk Seri Najib akan merungkai segala kecelaruan dan kebencian rakyat terhadap BN di kala kita berada di dalam situasi yang amat meruncing,” katanya.

No comments:

Post a Comment