Thursday, July 30, 2015

PM Belanda rayu Putin supaya tidak guna kuasa veto


REUTERS - GAMBAR fail 26 Julai memaparkan sepasang suami isteri duduk di atas serpihan pesawat MH17 di lokasi nahas dekat kampung Grabovo, timur Ukraine.


THE HAGUE – Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte semalam merayu kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin supaya tidak menggunakan kuasa veto untuk membatalkan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mengadili mereka yang me­nembak jatuh Penerbangan Malaysia MH17 di Ukraine.
Pejabat Rutte menyatakan, beliau menelefon Putin menjelang sesi pengundian Ma­jlis Keselamatan di New York untuk meminta sokongannya berhubung penubuhan sebuah tribunal antarabangsa bagi membicarakan dalang yang menembak jatuh MH17.
Nahas Penerbangan Malaysia itu meragut 298 nyawa pada Julai tahun lalu.
“Secara jujur dan panjang lebar, Rutte membuat panggilan penting kepada Putin supaya beliau menjadikan kenyataan untuk membicarakan mereka yang mendalangi serangan ke atas MH17 di sebuah tribunal PBB,” menurut kenyataan dari pejabat Rutte.
Malaysia, Belanda, Australia, Ukraine dan Belgium meminta supaya tribunal antarabangsa itu diwujudkan, manakala Malaysia telah mengedarkan draf resolusinya untuk diundi semalam.
Rusia bertegas menentang penubuhan tribunal berkenaan dan akan menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan untuk memba­talkannya.
Moscow sebaliknya mahu menunggu sehingga siasatan antarabangsa nahas tersebut yang diketuai Belanda selesai pada Oktober depan.
Penerbangan MH17 ditembak jatuh di kawasan yang dikuasai pemberontak pro-Rusia di timur Ukraine semasa pertempuran sengit dengan tentera Ukraine.
Ukraine dan Barat me­nuduh pemberontak pro-Rusia menembak jatuh pesawat 777-200 itu menggunakan peluru berpandu darat ke udara yang dibekalkan oleh Moscow.
Rusia sebaliknya me­nuduh tentera Ukraine bertanggungjawab melakukan sera­ngan itu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0730&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3hK0UfYgZ 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment