Thursday, July 9, 2015

Altantuya: Peguam nafi Sirul akan buat pengakuan di Australia

KHAMIS, 9 JULAI 2015 @ 11:14 AM

Oleh Mohd Azrone Sarabatin azrone@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Peguam Hasnal Rezua Merican menafikan anak guamnya, Sirul Azhar Umar akan membuat pengakuan di mahkamah Australia, minggu depan yang kononnya pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu atas arahan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata, pihaknya sudah menghubungi peguam Sirul di Australia yang mengesahkan tiada prosiding mahkamah membabitkan perbicaraan anak guam mereka minggu depan.

 Pihaknya kemudian menghubungi Herald Sun Australia dan mereka juga menafikan khabar angin itu dan tiada maklumat mahu pun menyiarkan sebarang berita berkaitan anak guamnya itu. "Sirul Azhar juga mengesahkan tidak pernah mengeluarkan kenyataan kepada mana-mana media termasuk Herald Sun Australia berhubung keputusannya untuk mendedahkan individu tertentu yang mengarahnya membunuh Altantuya. "Kami juga membuat semakan dalam talian akhbar berkenaan dan tiada berita mengenai pendedahan itu dan ternyata ia palsu untuk menjatuhkan maruah dan kredibiliti individu tertentu.

"Kami mengesan khabar angin itu awalnya disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp dan kemudian ada individu memaparkannya di laman sosial Facebook," katanya ketika dihubungi hari ini. Hasnal Rezua berkata, semakan menerusi online akhbar itu juga mendapati, pautan di dalam aplikasi WhatsApp berkenaan adalah wawancara dengan Sirul Azhar, pada April lalu dan disiarkan pada Mei. "Dalam wawancara itu juga Sirul Azhar langsung tidak menyebut individu tertentu mengarahnya membunuh Altantuya," katanya. Pada 13 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara menjatuhkan hukuman mati ke atas dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK), iaitu Sirul Azhar dan Cif Inspektor Azilah Hadri kerana didapati bersalah membunuh Altantuya. Bagaimanapun, Sirul Azhar bertindak melarikan diri ke Australia.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/66788

No comments:

Post a Comment