Thursday, July 9, 2015

Polis siasat amaran demo besar anti-Najib



Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengeluarkan arahan siasat terhadap pemula mesej  amaran demonstrasi besar jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak meletakkan jawatan.

Arahan kepada Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) itu dibuat di Twitter beliau semalam.

“PCIRC @PDRMsia sila siasat originator message ini yang merupakan satu ugutan, hasutan dan mengancam ketenteraman Awam,” tulis Khalid.
Amaran itu antaranya berbunyi “Berita Semasa: Demo besar jika Najib tak letak jawatan” dengan gambar muka anggota parlimen DAP Anthony Loke.

Selasa lalu, Loke, yang juga setiausaha penganjur DAP, tidak menolak kemungkinan mengadakan perhimpunan besar susulan dakwaan AS$700 juta (RM2.6 bilion) dana daripada syarikat dikaitkan dengan 1MDB disalurkan ke akaun peribadi Najib,

Najib menafikan dakwaan yang dilaporkan oleh media antarabangsa The Wall Street Journal minggu lepas, serta tidak mengendahkan desakan bercuti ketika siasatan dijalankan.

Mengulas perkara itu, Loke berkata Khalid tidak patut beralih daripada isu asas.

“Saya menjawab soalan pemberita, dia tanya saya sama ada akan ada demonstrasi terhadap Najib, jadi saya cakap saya tidak tolak kemungkinan itu.

“Saya tidak kata akan ada demonstrasi,” katanya kepada Malaysiakini.

Beliau juga melihat amaran Khalid sebagai tidak masuk akal kerana mencadangkan perhimpunan juga dianggap hasutan.

“Malah jika kita ada perhimpunan aman untuk mendesak Najib berundur apa salahnya? Ini hak kita,” katanya.

Anggota parlimen Seremban itu juga meminta polis menumpukan siasatan mereka terhadap perdana menteri dan dakwaan-dakwaan terhadapnya.

No comments:

Post a Comment