ABDUL GHANI PATAIL
Beliau turut melahirkan kebimbangan dengan sindiran dan dakwaan yang telah dibuat oleh pihak tertentu apabila mengaitkan tugasnya sebagai Peguam Negara dengan agenda politik tertentu.
“Tujuan Pasukan Petugas Khas antara agensi ini ditubuhkan adalah untuk menyiasat perkara ini adalah untuk memastikan bahawa tidak timbul sebarang salah guna mekanisme siasatan.
“Saya tidak akan teragak-agak untuk mendakwa individu yang membocorkan maklumat sulit berkaitan siasatan ini kerana ia adalah suatu kesalahan jenayah,” tegas beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sabtu lalu, Abdul Gani berkata, sebuah Pasukan Petugas Khas dianggotai SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia telah memulakan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pasukan Petugas Khas tersebut juga telah menyerbu dan mengambil beberapa dokumen penting milik syarikat SRC International Sdn. Bhd., Gandingan Mentari Sdn. Bhd., dan Ihsan Perdana Sdn. Bhd., pada 3 Julai lalu.
Beliau turut bimbang dengan pembocoran dokumen berkaitan siasatan jenayah yang sedang dijalankan dan meminta supaya siasatan penuh dibuat ke atas perkara itu.
Katanya, kebimbangan ini turut disokong oleh Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Abdul Gani turut mengambil maklum bahawa dokumen yang didedahkan dalam artikel Wall Street Journal bertajuk ‘Malaysia Orders Freeze of Accounts Tied to Probe of Alleged Transfers to Prime Minister Najib’ semalam merupakan suatu siasatan dan menekankan kepentingan menjaga integriti siasatan itu agar tidak timbul kemusykilan dalam kalangan orang awam.
“Ini bukan soal ‘whistle-blowing’ kerana perkara berkenaan sudah dalam siasatan. Isu yang membimbangkan saya adalah dokumen itu dikatakan telah dibocorkan dari dalam siasatan itu sendiri,” katanya.
Jelas beliau, kesalahan jenayah membocorkan maklumat peribadi pelanggan termaktub di bawah Seksyen 133 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Seksyen 145 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.
Menurutnya, mereka yang mempunyai akses kepada apa-apa dokumen atau maklumat berhubungan hal ehwal atau akaun pelanggan suatu institusi kewangan termasuk institusi kewangan itu sendiri atau pernah menjadi pengarah, pegawai atau ejen institusi kewangan tersebut tidak dibenarkan mendedahkan dokumen atau maklumat pelanggan.
Tegas beliau lagi, menjadi satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan ke atas mereka yang mendedahkan maklumat yang diperolehnya semasa melaksanakan tugas dengan membocorkan maklumat pelanggan.