Thursday, July 9, 2015

Dokumen pelaburan 1MDB antara yang dirampas



Pasukan khas menyiasat kontroversi sekitar 1MDB hari ini mengumumkan senarai dokumen yang dirampas mereka dalam serbuan kira-kira enam jam di pejabatnya di Kuala Lumpur semalam.

Antara rampasan itu termasuk minit mesyuarat lembaga pengarah, buku minit, penyata dan maklumat terperinci bank, penyata penyesuaian dan buku lejar.

Turut dirampas perjanjian perniagaan, rundingan dan fail pelaburan syarikat berkaitan aktiviti tanggungjawab sosial 1MDB.

“Pasukan itu turut merampas beberapa komputer notebook,” kata kenyataan pasukan khas empat badan meliputi Jabatan Peguam Negara, Bank Negara, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) itu.

Serbuan itu, menurut pasukan itu, dibuat pada jam 9.40 pagi dan pencarian selesai pada jam 6.45 petang di Menara IMC di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

1MDB semalam berkata mereka sedia memberi kerjasama dalam siasatan tersebut di samping menegaskan tindakan perlu diambil mengikut undang-undang jika terdapat kesalahan dilakukan.

Pasukan itu pada Jumaat lalu turut menyerbu premis syarikat yang dikaitkan dengan 1MDB.

Tiga syarikat yang diserbu itu ialah SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd, and Ihsan Perdana Sdn Bhd.

No comments:

Post a Comment