KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 50 tahun dipercayai hilang di kawasan Masjid India ketika menghadiri perhimpunan Bersih 4.
Ahli PKR Perlis, Fahri Ibrahim kali pertama berkunjung ke ibu negara dan menyertai perhimpunan itu pada petang Sabtu bersama sekumpulan 30 rakannya dari negeri berkenaan.
Rakannya, Mohd Sharun Radzi Salehuddin berkata, dia dan Fahri sedang berehat di Lorong Masjid India selepas solat pada pukul 7 malam apabila Fahri memaklumkan mahu ke tandas.
"Lama kami tunggu dan apabila masuk ke tandas, kami dapati dia tiada di situ.
"Setakat ini, kami masih tidak tahu di mana dia berada," kata Mohd Sharun.
Menurut Mohd Sharun lagi, sebelum itu Fahri kehilangan telefon bimbitnya ketika menyertai perhimpunan hingga menyebabkan mereka sukar menghubunginya.
Fahri yang berambut pendek memakai kemeja T dengan lambang harimau dan seluar sukan hitam.
"Fahri tidak tahu membaca dan ini perhimpunan pertama yang disertainya. Dia juga mengadu penat.
"Kami mencarinya hingga tengah malam sebelum menaiki bas untuk pulang ke Perlis.
"Ada juga ahli kumpulan kami yang tunggu hingga 5 pagi untuk mencarinya tetapi masih gagal," kata Mohd Sharun.
Bagaimanapun, laporan polis berhubung kehilangan Fahri belum dibuat setakat ini.
Bersih 2.0 juga mengeluarkan hebahan mengenai Fahri dan sesiapa yang melihatnya boleh menghubungi Mohd Sharun 019-7297911 atau Azam 012-7609262.