Sunday, August 30, 2015

Bekas ketua penerangan PAS Sarawak, dipilih Pengerusi GHB negeri

JUMAAT, 28 OGOS 2015 @ 12:10 PM

BEKAS Ketua Penerangan PAS Sarawak, Andri Zulkarnaen Hamden. KUCHING: Mesyuarat pemilihan anggota jawatankuasa Gerakan Harapan Baru (GHB) Sarawak pada 20 Ogos, sebulat suara memilih bekas Ketua Penerangan PAS Sarawak, Andri Zulkarnaen Hamden sebagai pengerusi negeri. Andri berkata, beliau akan menerajui GHB Sarawak dan akan dibantu anggota jawatankuasa (AJK) yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama serta latar belakang profesional berbeza. "Dalam mesyuarat itu juga kami bersetuju sebulat suara GHB Sarawak akan meletakkan calon bagi bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang. "Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi sasaran GHB bukan hanya kerusi pengundi Melayu, malah kerusi majoriti bukan Islam juga menjadi sasaran," katanya. Andri berkata, GHB Sarawak menyasar kerusi antaranya DUN Lambir, Samalaju, Semariang, Muara Tuang, Kedup, Triboh, Batang Sadong, Sebuyau, Beting Maro, Belawai, Dalat, Demak Laut dan Dalat. "Namun pembahagian kerusi ini hanya akan diputuskan selepas berunding dengan rakan-rakan daripada DAP dan PKR serta kelulusan GHB pusat untuk semakan. "Kami sudah mempunyai calon yang berwibawa, berpotensi serta bersedia untuk diletakkan di kawasan fokus berkenaan. Rata-rata adalah kalangan anak tempatan yang sudah tentu diberi keutamaan," katanya. Mengikut Andri yang juga bekas Yang Dipertua PAS Kawasan Santubong, GHB Sarawak akan mengadakan sidang media memperkenalkan AJK dan mempromosi program mereka pada 4 September ini. "Pada 6 September, sidang media bersama Pengerusi GHB, Mohamad Sabu yang juga bekas Timbalan Presiden PAS serta pemimpin GHB pusat seperti Dr Mohd Hatta Ramli, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad dan Anggota Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud bersama pimpinan Pakatan Rakyat Sarawak akan diadakan," katanya. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/77893

No comments:

Post a Comment