Friday, August 21, 2015

CCTV dimatikan sebelum kematian Dharmendran


21 OGOS 2015

KUALA LUMPUR - Semua kamera litar tertutup (CCTV) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL) dimatikan sejak 2009, iaitu sebelum berlakunya kes kematian N.Dharmendran di dalam lokap semasa dalam tahanan polis.

Pegawai Cawangan Komunikasi IPK KL Inspektor Mohamed Hafiz Mokhtar berkata CCTV itu ditutup bagi 'memberi laluan' kepada pembinaan bangunan IPK baharu dan ia melibatkan semua bahagian di IPK KL termasuk di lokap.

"Tahun 2009 pembinaan baharu dijalankan (di IPK KL), CCTV pada parameter (kawasan) termasuk keluar masuk lokap, pintu masuk (ke bangunan IPK) terpaksa dihentikan untuk memberi laluan kerja-kerja pembinaan.

"Selepas 2014 baru berfungsi (CCTV)," katanya ketika memberi keterangan sebagai saksi pada sesi kedua pendengaran awam berhubung kematian N. Dharmendran di dalam tahanan polis pada 21 Mei 2013.

Mohamed Hafiz merupakan saksi ke-31 yang dipanggil dalam sesi pendengaran awam itu yang masuk hari Ke-10 hari ini, di Bilik Pendengaran, Tingkat 13 Menara TH Perdana, di sini.

Mohamed Hafiz berkata pada ketika itu beliau bertugas di bahagian Pentadbiran Komunikasi dan bertanggungjawab mengawal selia alat perhubungan komunikasi, sistem siaraya, pendawaian elektrik, janakuasa dan CCTV.

Dalam sesi pendengaran tiga hari lepas, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad memberitahu terdapat CCTV di lokap tempat Dharmendran ditemui mati, bagaimanapun CCTV itu tidak berfungsi.

Dharmendran ditahan pada 11 Mei 2013 dan meninggal dunia pada 21 Mei 2013 ketika di dalam tahanan di IPK KL.

Susulan itu empat anggota polis dari IPK KL ditahan dan didakwa atas tuduhan menyebabkan kematian mangsa.

Pada 12 Disember 2014, Mahkamah Tinggi di sini membebaskan empat anggota polis itu daripada tuduhan membunuh kerana mendapati tiada prima facie terhadap mereka.

Perbicaraan bersambung pada tarikh akan ditetapkan kemudian. - Bernama

No comments:

Post a Comment