Friday, August 21, 2015

Dakwa peserta Bersih dibayar satu penghinaan


NIZAM ZAIN
Azmin Ali

21 OGOS 2015

Azmin Ali Mohamed Azmin Ali ketika ditemui Sinar Online ketika mengadakan lawatan mengejut ke Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di Shah Alam, hari ini. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN.

SHAH ALAM - Orang ramai yang turun ke jalanan setiap kali perhimpunan aman diadakan bukanlah kerana mereka itu diberi sogokan dengan wang ringgit sebaliknya atas dorongan mereka sendiri untuk menuntut perubahan.

Demikian kata Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sambil menyifatkan tindakan menuduh penganjur Bersih 4, Maria Chin Abdullah membayar setiap peserta sehingga RM300 sebagai satu penghinaan kepada rakyat Malaysia.

"Macam mana kita dituduh membuat sogokan begitu, itu satu penghinaan kepada rakyat Malaysia yang mahukan perubahan, apakah salah untuk minta dan berusaha kepada perubahan?

"Ini semua propaganda dari dulu, setiap kali berhimpun, kami (dituduh) dibayar, ceramah kami dibayar, tak pernah berlaku," katanya kepada Sinar Online, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Gabungan NGO-NGO Melayu, Datuk Jamal Md Yunos semalam yang mendakwa penganjur Bersih 4 memperuntukkan sehingga RM30 juta untuk mengumpulkan 100,000 peserta pada perhimpunan aman itu, 29 dan 30 Ogos ini.

Jamal berkata, setiap peserta menerima bayaran pendahuluan sebanyak RM100 manakala bakinya akan dibayar semasa perhimpunan termasuk kos makanan dan pengangkutan.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin juga berkata, perjuangan kumpulan Bersih itu tidak memerlukan bantuan kewangan, sebaliknya cukup sekadar kemampuan berhimpun di jalanan.

"Bagi saya ini sumbangan rakyat kepada perjuangan, dia tidak ada duit, dia tidak ada kemampuan lain.

"Itu satu dorongan besar kepada kami, kita tidak ada pengikut yang kaya-raya, sheikh tak ikut kita... tauke-tauke tak ikut kita, yang ikut kita ini rakyat, ini satu dorongan," ujarnya.

Sementara itu, beliau selaku Menteri Besar Selangor mengingatkan pihak polis supaya mematuhi undang-undang negara dan bukan menghalang orang ramai daripada berhimpun secara aman.

"Saya yakin pihak penganjur yang mempunyai pengalaman dalam menganjurkan perhimpunan aman seperti ini (dengan syarat), jangan timbulkan ketengangan.

"Polis pula tidak harus bermusuh dengan rakyat, polis harus bermusuh dengan penjenayah sahaja," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment