Friday, August 21, 2015

SPRM Tidak Sertai Pasukan Petugas Baharu Siasat 1MDB


Diterbitkan: Jumaat, 21 Ogos 2015 1:59 PM
Mohd Shukri Abdull.

PETALING JAYA: Satu pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh Jabatan Peguam Negara untuk menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak akan melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang mengesahkan perkara tersebut bagaimanapun berkata, keadaan itu tidak akan menjejaskan fungsinya sebagai badan pencegahan rasuah.
"Kita tidak ambil peduli mengenai perkara ini. Kita masih bertugas seperti biasa," katanya pada Jumaat.
Beliau berkata, SPRM akan meneruskan penyiasatannya terhadap derma politik berjumlah AS$700 juta dan RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd yang didakwa dikaitkan dengan akaun bank Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"SPRM akan menjalankan kewajipannya dalam batasan undang-undang terhadap suruhanjaya ini. Kita tiada masalah dengan pasukan petugas baharu kerana ia langsung tidak menjejaskan kita," katanya.
Dilaporkan bahawa satu pasukan petugas baharu yang dikenali sebagai National Revenue Recovery Enforcement Team (NRRET), ditubuhkan oleh Jabatan Peguam Negara untuk menyiasat 1MDB.
Bagaimanapun, tidak dipastikan sama ada pasukan petugas khas itu untuk menggantikan pasukan petugas khas mengenai 1MDB yang dibubarkan awal Ogos.
Menurut laporan itu, terdapat lima agensi yang menganggotai pasukan petugas yang baharu iaitu Jabatan Peguam Negara, Bank Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). 
Pasukan petugas khas sebelum ini yang melibatkan SPRM dibubarkan sejurus selepas Peguam Negara yang baharu, Tan Sri Apandi Ali mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Abdul Gani Patail.
SPRM turut disiasat polis berhubung kebocoran maklumat rasmi kerajaan dan dokumen perbankan.

No comments:

Post a Comment