Friday, August 21, 2015

1MDB: Bekas Pegawai Jabatan Peguam Negara Berdepan Perintah Pengusiran


Diterbitkan: Jumaat, 21 Ogos 2015 9:55 AM

PETALING JAYA: Pegawai undang-undang yang terlibat dalam siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang ditamatkan perkhidmatannya oleh Jabatan Peguam Negara pada minggu lalu kini berdepan perintah pengusiran.
Jessica Gurmeet Kaur yang merupakan rakyat Singapura telah dibatalkan taraf penduduk tetapnya, dan pegawai yang dikatakan dari Jabatan Imigresen pada Khamis menjalankan perintah pengusiran terhadapnya.
Jessica bersama dengan bekas ahli lembaga penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Rashpal Singh yang mempunyai kaitan dengan kebocoran maklumat siasatan 1MDB ditahan bagi membantu siasatan pada 1 Ogos lalu.
Difahamkan jaminan terhadap Jessica juga dibatalkan pada minggu lalu.
Turut difahamkan beberapa pegawai menunggu di luar kondominium Jessica di Bangsar, Kuala Lumpur pada Khamis. 
Jessica bagaimanapun tidak berada di rumah ketika itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dipetik dalam sebuah portal berita sebagai berkata, pihak polis tidak akan mengiring Jessica untuk keluar dari negara ini.
Seorang peguam yang enggan dikenali mengesahkan bahawa khidmat Jessica di Jabatan Peguam Negara ditamatkan pada minggu lalu. 
Bagaimanapun dia tidak mengetahui mengenai perintah pengusiran itu.

No comments:

Post a Comment