Friday, August 21, 2015

Jangan rosakkan parti, kembali kepada Umno


21 OGOS 2015
Zahid

Zahid Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kota Tinggi di Dewan Semai Bakti, Felda Lok Heng Timur hari ini. - Foto Bernama

KOTA TINGGI - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menggesa semua ahli Umno yang tidak lagi memegang jawatan supaya kembali kepada parti dan bukannya merosakkannya.
   
Beliau berkata mereka perlu kembali kepada Umno dan bersama-sama dengan yang lain untuk memperkuatkan parti.
   
Beliau berkata perlu ada kesalingan antara pemimpin atasan dan akar umbi demi memperkukuhkan semula parti, sekali gus memenangi hati rakyat bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
   
Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata hubungan baik antara pemimpin dan ahli parti amat penting dalam menangani apa jua masalah kerana ia mustahil dapat diselesaikan tanpa kesalingan antara kedua-dua pihak.
   
"Jangan buat keputusan ketika sedang marah dan ketika kita sedih kerana semua keputusan itu tidak rasional. Ingat, kita tidak hebat kerana yang meletakkan kita hebat adalah Umno ," katanya semasa merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kota Tinggi di Dewan Delfa Lok Heng Timur, di sini.

"Kita duduk sebagai TPM (Timbalan Perdana Menteri) dan MB (Menteri Besar) adalah kerana Umno . Jadi, bila tiada jawatan, kenapa hendak cucuk, kita perlu terus kukuhkan Umno ," katanya.
   
Turut hadir, Pengerusi Umno  Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Badan Perhubungan Umno  negeri, Md Jais Sarday dan Ketua Umno Bahagian Kota Tinggi, Datuk Daing A. Malek Daing A. Rahaman.
   
Menurut Ahmad Zahid, semua pihak perlu sedar bahawa bukan Umno sahaja yang menghadapi masalah tetapi juga pembangkang dalam parti masing-masing kerana masalah dalaman parti adalah putaran hayat dalam politik. - Bernama

No comments:

Post a Comment