Saturday, August 1, 2015

Pemuda Umno Cadang Gaji Kurang RM5,000 Dikecualikan Cukai


Diterbitkan: Sabtu, 1 Ogos 2015 4:40 PM

PUTATAN: Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Putatan mencadangkan agar kerajaan menimbangkan pekerja yang berpendapatan atau bergaji RM5,000 dan ke bawah tidak dikenakan cukai pendapatan.
Ketuanya Shahelmey Yahya berkata langkah itu mampu memberikan kecairan tunai kepada individu terlibat dalam menyara kehidupan seharian berikutan beban kos sara hidup yang meningkat.
Pemuda UMNO Putatan juga mahu lebih banyak kemudahan kewangan dan pembiayaan rumah pertama diberikan kepada golongan muda, katanya ketika membentangkan usul ekonomi pada Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Putatan di Dewan Rakan Muda Kompleks Belia dan Sukan (Persekutuan), dekat sini, malam tadi. Usul itu kemudian diluluskan sebulat suara oleh 157 perwakilan yang hadir.
Selain itu, katanya turut dicadangkan agar bab tafsir Al-Quran dimasukkan sebagai modul pembelajaran dalam mata pelajaran agama Islam di sekolah bagi meningkatkan kefahaman pelajar Islam mengenai kandungan Al-Quran.
"Kita yakin pemahaman isi Al-Quran akan membentuk individu berilmu, berakhlak mulia dan berjaya," katanya.
Pergerakan itu juga mencadangkan agar Universiti Awam memberi kuota tambahan kemasukan kepada pelajar daripada keluarga miskin dan luar bandar bagi membolehkan lebih ramai golongan itu dapat meneruskan pengajian di peringkat tinggi.
Katanya dengan cara itu anak-anak dari keluarga miskin dan luar bandar tidak ketinggalan dalam menikmati peluang melanjutkan pengajian tinggi sekaligus dapat mengubah masa depan mereka ke arah yang lebih baik.
Mengenai isu Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang dijangka dimuktamadkan pada November tahun ini, Shahelmey berkata pihak kerajaan perlu menjelaskan intipati perundingan tersebut kepada rakyat sebelum sebarang keputusan dibuat.
"Kepentingan hak Bumiputera dan kos sara hidup rakyat negara ini mesti menjadi perkara paling utama diambil kira dalam apa juga perundingan perdagangan yang melibatkan luar negara seperti TPPA" katanya.

No comments:

Post a Comment