SYDNEY 31 Julai - Pihak berkuasa Australia hari ini berkata, penemuan serpihan pesawat di pulau kecil di selatan Lautan Hindi tidak akan membantu menentukan lokasi sebenar pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 terhempas atau menyelesaikan misteri kehilangan pesawat tersebut.
Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss berkata, walaupun serpihan itu ‘mungkin menjadi bukti penting’ jika mempunyai kaitan dengan pesawat MH370, sukar untuk para penyiasat menentukan lokasi asal objek berkenaan menggunakan model hanyutan undur.
“Selepas 16 bulan dengan pelbagai gerakan arus lautan, model undur sangat sukar dilakukan.
“Saya tidak jangka ketika ini model itu boleh membantu menentukan lokasi rangka pesawat,’’ katanya.
Ketua Pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Martin Dolan berkata, pihaknya tidak melihat sebarang asas untuk menukar atau memperhalusi zon pencarian.
“Kami masih yakin dengan analisis data satelit.
“Kita boleh teruskan pencarian di zon utama dan kami tahu terdapat kemungkinan serpihan telah ke La Reunion,’’ katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan rancangan seperti ditetapkan dan berharap dapat mencari rangka pesawat di sana.
Dolan menambah, penemuan serpihan di La Reunion tidak membawa maksud serpihan lain akan tersadai di sana atau lokasi berdekatan.
“Dalam tempoh 16 atau 17 bulan, sebarang objek terapung akan hanyut ke kawasan berbeza di Lautan Hindi,’’ katanya. – AFP
No comments:
Post a Comment