Sebuah helikopter terbang rendah untuk mengesan sebarang serpihan baharu di timur Pulau La Reunion di Lautan Hindi berikutan penemuan objek dipercayai bahagian sayap sebuah pesawat, kelmarin. – AGENSI
SAINT-ANDRE, Perancis 31 Julai – Serpihan pesawat yang ditemui di pulau kecil di selatan Lautan Hindi dihantar ke Toulouse, selatan Perancis hari ini untuk dianalisis dengan lebih lanjut bagi merungkai misteri, sama ada objek itu merupakan serpihan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang pada 8 Mac tahun lalu.
Menurut sumber yang rapat dengan pasukan penyiasat, serpihan kanan sayap sebuah pesawat yang dipanggil flaperon itu akan dihantar hari ini sebelum diuji di sebuah tapak ujian esok bagi memastikan objek itu merupakan serpihan pesawat Boeing 777.
Pihak penerbangan awam Perancis, Biro Siasatan dan Analisis (BEA) akan menggalas tugas melakukan analisis ke atas serpihan berkenaan dan akan bekerjasama dengan pasukan penyiasat antarabangsa dalam tugas tersebut.
BEA tidak memberi butiran lanjut tentang tempoh yang diperlukan untuk menganalisis serpihan pesawat itu atau bila keputusan siasatan itu akan diumumkan.
Dalam pada itu, pakar penerbangan, Xavier Tytelman berkata, beliau dan beberapa pakar lain telah melakukan perbandingan antara serpihan itu dengan beratus-ratus gambar serta cetakan biru pesawat bagi mengenal pasti objek tersebut.
Tambahnya, hasil keputusan perbandingan jelas menunjukkan serpihan flaperon itu merupakan sebahagian kecil daripada sayap pesawat jenis Boeing 777, pesawat yang sama digunakan dalam penerbangan MH370.
Kelmarin, dunia digemparkan dengan penemuan serpihan pesawat berukuran dua meter di Pulau La Reunion dekat Lautan Hindi, sekali gus menghidupkan harapan misi pencarian pesawat MH370 yang dipercayai terhempas di Lautan Hindi.
Penemuan objek tersebut berada pada jarak kira-kira 4,000 kilometer dari kawasan tumpuan pencarian pesawat tersebut yang membawa 239 penumpang dan anak kapal.
Sementara itu, kerajaan Perancis mengerahkan sebuah helikopter tentera meninjau di kawasan sekitar Pulau La Reunion untuk mengesan jika terdapat lebih banyak serpihan. – AFP
No comments:
Post a Comment