Saturday, August 1, 2015

Pertemuan Tertutup Najib Bincang Pengguguran Muhyiddin


Diterbitkan: Jumaat, 31 Julai 2015 8:59 PM

PUTRAJAYA: Pertemuan tertutup Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pimpinan utama Badan Perhubungan Umno Negeri seluruh negara di kediaman rasminya di Kompleks Seri Perdana berakhir selepas hampir dua jam.
Kenderaan yang membawa pemimpin-pemimpin berkenaan dilihat meninggalkan kompleks tersebut kira-kira pukul 7.50 malam melalui pintu utama.
Usaha pihak media yang menunggu di luar pintu laluan awam di Kompleks Seri Perdana seawal pukul 4.30 petang untuk mendapatkan komen bagaimanapun gagal.
Menurut sumber, perbincangan tertutup berkenaan membincangkan mengenai pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri menerusi rombakan Kabinet pada Selasa lalu.
Difahamkan pertemuan yang bermula kira-kira pukul 5.30 petang Jumaat itu, dihadiri semua Pengerusi Perhubungan Umno Negeri kecuali Pulau Pinang dan Kelantan yang diwakili wakil mereka.
Antara yang dilihat masuk ialah Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Seri Shahidan Kassim (Perlis), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (Perak), Datuk Seri Mohamad Hasan (Negeri Sembilan) dan Datuk Seri Khaled Nordin (Johor).
Selain itu, pertemuan berkenaan turut dihadiri Naib Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Hadir sama ialah Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja, Datuk Ab Rauf Yusoh.

No comments:

Post a Comment