Saturday, August 1, 2015

"Saya Tak Tahu Apa Dalam Hati Mereka" - Tun M


Diterbitkan: Sabtu, 1 Ogos 2015 3:23 PM

PUTRAJAYA: Pemimpin-pemimpin Umno pada masa kini dilihat sangat komited terhadap parti dan juga presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bekas perdana menteri berkata, situasi ini membuatkan beliau berpandangan bahawa tidak akan timbul kacau-bilau dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) walaupun parti dan pemimpinnya sedang berdepan beberapa isu.
"Saya tak fikir (kacau-bilau)…sebab mereka semua sangat komited disebabkan beberapa faktor. Mereka tak mempersoalkan sesiapa.
"Bagi saya ia nampak seperti itu (komited). Saya tak tahu apa dalam hati mereka (pemimpin)," katanya selepas melancarkan buku ‘Mahathir Bukan Kawan Saya’ di sini, Sabtu.
Menurut Dr Mahathir, pendekatan yang diambil oleh pemimpin dalam Umno patuh kepada undang-undang dan arahan pemimpin di peringkat atasan juga akan menyebabkan parti dilihat berada dalam keadaan baik.
Beliau dalam pada itu turut mendakwa bahawa pimpinan Umno kini sudah ‘beralih arah’ apabila sudah tidak datang bertemu dengannya.
"Sebab (sebelum ini) ada yang datang jumpa saya mengadu tentang itu..ini.
"Tapi sekarang mereka sudah tak datang jumpa saya lagi, sebab mereka sudah beralih arah," katanya.
Diminta mengulas mengenai keputusan beberapa Umno di peringkat bahagian yang membatalkan jemputan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk merasmikan mesyuarat tahunan mereka, Dr Mahathir berkata ia juga dilakukan kerana patuh kepada arahan dan undang-undang.
"Mereka sudah ditegah, mereka semua patuh kepada undang-undang.
"(Kerana) tak nak timbul huru-hara, nak mempengaruhi fikiran manusia mereka terpaksa tolak Muhyiddin," katanya.
Umno kini sedang berdepan beberapa kemelut dengan yang terbaharu menyaksikan Muhyiddin yang memegang jawatan timbalan presiden digugurkan sebagai timbalan perdana menteri oleh Najib.
Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang dijadualkan pada Jumaat juga dibatalkan dan digantikan dengan satu pertemuan antara Najib dan ketua-ketua Umno bahagian.

No comments:

Post a Comment