Saturday, September 5, 2015

Indonesia batal bina kereta api laju

Jakarta: Kerajaan Indonesia membatalkan rancangan membina landasan kereta api laju pertama negara itu dan memilih sistem kereta api yang lebih perlahan serta murah.
Pembatalan itu juga memberi tamparan kepada Jepun dan China yang bersaing untuk merebut kontrak bernilai berbilion dolar berkenaan.
Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) pada minggu ini dijangka mengumumkan negara mana yang dipilih untuk melaksanakan projek mega itu.
Bagaimanapun, Ketua Menteri Ekonomi, Darmin Nasution semalam mengumumkan projek itu dibatalkan akibat kos dan pengurusan projek.
Darmin berkata, beliau memanggil duta Jepun semalam bagi mengucapkan terima kasih dan memberitahu Jakarta memilih kereta api kelajuan sederhana dan membuka bidaan kepada pesaing lain.
Beliau juga memanggil duta China bagi menyampaikan perkembangan sama.
Sejak beberapa bulan lalu, negara kuasa besar itu bersaing untuk mendapatkan kontrak membina landasan kereta api laju sepanjang 160 kilometer yang menghubungkan Jakarta dan Bandung.
Projek itu dianggap kejayaan pentadbiran Jokowi yang berjanji untuk menaik taraf sistem jalan raya, kereta api dan pelabuhan negara itu yang usang.
Satu penilaian bebas mengenai projek itu mendapati sistem kereta api laju tidak sesuai kerana jarak antara Jakarta dan Bandung yang pendek.
Sistem kereta api kelajuan sederhana walaupun sedikit perlahan tetapi ia 30 peratus lebih murah. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:08 AM


KERETA api laju milik China di Wuhan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75281#sthash.mH01JF6j.dpuf

No comments:

Post a Comment