Budapest: Lebih 1,000 migran yang terkandas beberapa hari di stesen kereta api utama Budapest semalam meninggalkan bangunan itu dan berjalan kaki ke sempadan Austria.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75273#sthash.6BH3rHHR.dpuf
Kumpulan itu termasuk orang yang berkerusi roda serta bertongkat, selain ibu bapa mendukung anak mereka nekad memulakan perjalanan sejauh 175 kilometer itu.
Ada yang menunjukkan isyarat keamanan dan ada juga membawa gambar Canselor Jerman, Angela Merkel yang baru-baru ini mengumumkan Berlin melonggarkan syarat permohonan suaka untuk orang Syria.
Osama, 23, dari Syria berkata: “Kami sangat gembira kerana akhirnya ada sinar harapan. Kami akan ke Austria.
“Anak-anak semua kepenatan. Hungary terlalu teruk dan kami memang tiada pilihan selain meneruskan perjalanan.”
Mereka antara kira-kira 2,000 yang terkandas di kem pelarian sementara di stesen Keleti berikutan pihak berkuasa kereta api menghalang mereka menaiki kereta api ke Austria dan Jerman disebabkan tiada visa Kesatuan Eropah (EU).
Polis melihat migran berkenaan berjalan melalui ibu negara Hungary tetapi tidak menghalang mereka walaupun menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk di jalan menuju ke kota itu.
Baru-baru ini ahli Parlimen Hungary membahaskan langkah antimigrasi termasuk melarang pendatang melintas sempadan secara haram serta meluluskan pembinaan pagar di sempadan dengan Serbia.
Hungary menyertai Itali dan Greece sebagai sasaran migran yang mahu ke Eropah dengan 50,000 orang memasuki negara itu pada Ogos saja.
Jumlah tertinggi 3,300 migran direkodkan memasuki Hungary kelmarin, kata agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:06 AM
No comments:
Post a Comment