KUALA LUMPUR – Bekas pemain kebangsaan, Datuk Namat Abdullah menyifatkan bola sepak Malaysia mengalami malapetaka terburuk dalam sejarah negara selepas Harimau Malaya diaibkan dengan kekalahan 10-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi, UAE kelmarin.
Pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 itu, pasukan bimbingan Dollah Salleh mengejutkan ramai pihak apabila sebahagian besar pemerhati bola sepak juga tidak dapat menerima keputusan tersebut.
Lebih memalukan, Dollah telah menggunakan ketiga-tiga penjaga gol iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Khairul Azhan Khalid dan Zamir Selamat sebagai pemain gantian tetapi malangnya, taktik tersebut tetap tidak berjaya mengekang gawang negara yang menyaksikan mereka dibolosi tujuh gol pada aksi separuh masa pertama.
Mengulas lanjut, Namat mendedahkan kekalahan itu akan menjadi satu sejarah hitam dalam bola sepak negara dan beliau menganggap ia berpunca daripada para pemain dan bukannya jurulatih.
“Jika kita ambil contoh situasi sekarang, saya fikir jurulatih asing pun tidak mampu menyelamatkan bola sepak kita jika berdasarkan kepada pemain-pemain yang sedia ada.
“Bukan mahu merendahkan kemampuan pemain tempatan tetapi keputusan tersebut (10-0) menunjukkan bahawa kita masih lemah dan tidak memiliki ramai pemain berkualiti untuk bertanding di peringkat antarabangsa.
“Jurulatih memberi arahan dan pemain-pemain yang melaksanakan tugas. Mungkin mereka terlalu fokus kepada persaingan Liga Super atau Piala Malaysia berbanding memikirkan aksi bersama pasukan kebangsaan.
“Apa yang pasti, ini menunjukkan kita sebenarnya tiada pemain-pemain kerana kita sendiri saksikan Dollah telah menggunakan pemain-pemain yang sama sejak (menjuarai Piala AFF Suzuki) 2010 lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0905&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3komnNnXB
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment