LIOW TIONG LAI menunjukkan salinan laporan MH370 Drift Analysis mengenai penemuan serpihan sayap kapal terbang berukuran dua meter di Pulau Reunion minggu lalu disahkan milik pesawat MH370 semasa sidang media di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya, semalam. BERNAMA
KUALA LUMPUR 6 Ogos - menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mendedahkan, kerusi dan tingkap pesawat adalah antara serpihan yang turut ditemukan di Pulau Reunion, lokasi penemuan serpihan sayap atau flaperon yang disahkan milik pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Beliau berkata, objek-objek itu bagaimanapun perlu diperiksa sama ada sebahagian daripada pesawat MH370 atau tidak.
“Kita turut menjumpai serpihan seperti tingkap pesawat, kerusi, dan kepingan aluminium.
“Namun, objek ini perlu diteliti oleh pihak berkuasa Perancis sebelum boleh disahkan milik MH370,” katanya kepada AFP di sini hari ini.
Sementara itu di PUTRAJAYA, Tiong Lai berkata, penemuan rekod penyelenggaraan dan tanda pengesahan milik MAS pada serpihan sayap yang ditemukan itu menjadi bukti utama bahawa komponen berkenaan milik pesawat MH370.
Beliau berkata, pengesahan bahawa flaperon itu milik MH370 juga dibuat sendiri oleh pasukan penyiasat Malaysia yang dihantar ke Perancis.
“Malaysia menghormati keputusan yang diambil oleh pihak berkuasa Perancis untuk meneruskan penyiasatan, namun kita sudah mengesahkan bahawa flaperon tersebut milik MH370 berdasarkan siasatan pasukan penyiasat kita.
“Selain rekod penyelenggaraan dan tanda pengesahan, antara bukti lain yang menguatkan lagi bahawa flaperon tersebut milik pesawat MH370 ialah warna dan maklumat selenggara,” katanya dalam sidang akhbar.
Awal pagi ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan misteri kehilangan pesawat MH370 akhirnya terjawab selepas 515 hari apabila penemuan serpihan sayap kapal terbang berukuran dua meter di Pulau Reunion minggu lalu disahkan milik pesawat itu.
Pengesahan tersebut sekali gus merungkai persoalan mengenai nasib sebenar yang menimpa pesawat MH370 di mana Lautan Hindi menjadi ‘destinasi’ akhir sebelum pesawat yang membawa 239 penumpang berserta anak kapal itu terhempas.
Menurut Tiong Lai, satu mesyuarat bersama tiga pihak iaitu Malaysia, China dan Australia akan diadakan berdasarkan pengesahan flaperon tersebut milik MH370 dan mesyuarat tersebut juga akan menentukan fasa seterusnya dalam operasi pencarian.
“Saya telah menghubungi rakan sejawat dari China dan Australia, mesyuarat tersebut akan diadakan dalam masa terdekat. Malaysia juga akan menunggu pandangan daripada pakar dan agensi yang terlibat sama ada mahu meneruskan pencarian MH370 di kawasan sedia ada yang diputuskan sebelum ini atau ke kawasan lain,” katanya.
Mengulas mengenai operasi pencarian, Tiong Lai berkata, operasi kapal pencarian sudah meliputi lebih 60,000 kilometer persegi di kawasan dasar Lautan Hindi dan pihak bertanggungjawab merancang untuk meneruskan usaha mencari sehingga meliputi 120,000 kilometer persegi.
“Sekarang terdapat dua kapal digunakan dalam misi pencarian pesawat MH370 dan terbaru kerajaan China bersetuju untuk menambah aset baharu untuk membantu kita mencari pesawat berkenaan, tempoh pencarian pula bergantung kepada keupayaan pasukan dan juga faktor cuaca,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pampasan untuk keluarga yang didakwa masih belum diterima, Tiong Lai berkata, proses tuntutan pampasan sepatutnya boleh dibuat sejak kehilangan MH370 diumumkan tahun lepas.
“Keluarga penumpang MH370 yang berdepan dengan masalah untuk membuat pampasan boleh berhubung dengan pihak MAS ataupun Kementerian Pengangkutan bagi memudahkan segala urusan yang berkaitan,” katanya.
Pesawat MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam 8 Mac 2014 dan sepatutnya mendarat di Beijing, China pada pukul 6.30 pagi pada hari yang sama, tetapi dilaporkan hilang tanpa dikesan oleh semua pihak.
Kehilangan itu mencetuskan misteri penerbangan abad ini dengan pelbagai teori diperkatakan hingga akhirnya pada Januari lalu, pihak berkuasa mengisytiharkan semua penumpang berserta anak kapal MH370 maut.
No comments:
Post a Comment