Friday, August 7, 2015

Mana baki RM2.6 bilion jika akaun ditutup, tanya Muhyiddin


muhyi
MUAR, Jumaat – “Saya tidak tahu berkenaan RM2.6 bilion itu,” kata Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, beliau hanya dimaklumkan berkenaan wang RM2.6 bilion itu setelah pendedahan dibuat oleh The Wall Street Journal (WSJ).
“Saya tak mahu persoalkan wang derma itu, saya tak mahu pertikaikan. Itu jumlah bukan sedikit,” katanya merasmikan mesyuarat perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian Pagoh di sini, semalam.
Muhyiddin juga menceritakan semula dialog ketika bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk meminta penjelasan berkenaan wang terbabit.
“Saya tanya dia dari mana sumbangan itu datang, dan dia (Najib) kata dari Timur Tengah, tetapi saya tidak boleh sebut nama,” kata Muhyiddin.
Najib kemudian memaklumkan kepadanya bahawa wang tersebut telah masuk ke akaun peribadinya.
“Saya tanya dia (Najib), kenapa wang itu masuk ke akaun dia? Dia jawab, penderma beritahu saya supaya masukkan ke akaun saya”.
“Percaya? Percaya sahajalah orang dah cerita,” tanya Muhyiddin kepada perwakilan.
Muhyiddin juga berkata, semua pihak dan rakyat inginkan penjelasan mengenai wang terbabit jika benar ia disumbangkan untuk parti.
Beliau juga mempersoalkan jika akaun telah ditutup, di mana baki wang terbabit dan adakah telah dimasukkan ke dalam akaun parti atau sebaliknya.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Muhyiddin berkata, beliau tidak akan meletak jawatan sebagai Timbalan Presiden Umno.
Katanya, adalah tidak masuk akal mengatakan beliau telah mencemarkan imej parti dan negara.
“Saya tidak akan letak jawatan kerana saya tidak melakukan apa-apa kesalahan kepada parti.
“Saya tidak membawa ancaman kepada negara atau mengatakan sesuatu yang bertentangan dengan perlembagaan parti. Buktikan jika saya ada melakukannya,” kata beliau.

No comments:

Post a Comment