Saturday, October 6, 2012

Syarikat Jepun di China tidak dilindungi insurans

TOKYO 5 Okt. - Beberapa syarikat insurans utama Jepun bertindak menghentikan perlindungan kepada syarikat-syarikat milik rakyat negara ini yang berdepan dengan rusuhan di China, satu tindakan yang dilihat memberi kesan terhadap pelaburan berikutan krisis pertikaian wilayah maritim di Laut China Timur yang melibatkan kedua-dua negara.
Menurut akhbar Nikkei hari ini, sebelum ini kebanyakan syarikat insurans bukan hayat, termasuk Tokio Marine dan Nichido Fire Insurance, menawarkan polisi melindungi kerosakan akibat rusuhan, tunjuk perasaan dan kekecohan.
Namun kini, syarikat-syarikat itu menghentikan permohonan baru atau permintaan untuk menambah nilai perlindungan, sejak tunjuk perasaan yang ditujukan kepada perniagaan rakyat Jepun berlaku di beberapa bandar sekitar China.
Sesetengah tunjuk perasaan bertukar menjadi ganas, dengan beberapa kedai dan kilang milik rakyat Jepun menjadi sasaran, memaksa ia ditutup atau pengeluarannya dirangka semula.
Menurut laporan Nikkei, syarikat tersebut menilai kerosakan yang dialami oleh pemegang polisi sedia ada.
Seorang pegawai daripada syarikat insurans yang tidak dinamakan berkata, syarikatnya tidak lagi menerima permohonan sehingga awal tahun depan.
Laporan Nikkei itu memberi amaran, tindakan seperti itu akan memberi kesan kepada syarikat Jepun di China yang kini tidak dilindungi insurans jika berlaku rusuhan.
Menurut institut penyelidikan Jepun, sebanyak 14,000 syarikat Jepun beroperasi di China sehingga penghujung Ogos lalu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121006/lu_07/Syarikat-Jepun-di-China-tidak-dilindungi-insurans#ixzz28VbolPKZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment