Mohd Noor dan Aishah menunjukkan gambar Hamidah. |
ALOR SETAR- “Saya sebak apabila mendengar tangisannya setiap kali dia menghubungi saya dan meminta mencari jalan untuk membantunya pulang ke tanah air,” demikian luahan Aishah Baharom, 67, yang menanti kepulangan anaknya.
Aishah buntu memikirkan cara untuk membawa pulang anaknya Hamidah Mohd Noor, 46, yang dipercayai mengikut teman lelakinya yang dikenali sebagai Taufik ke Indonesia sewaktu bekerja di kilang di Pulau Pinang.
Aishah berkata, berdasarkan kiriman pesanan ringkas (SMS) yang dihantar anak keempat dari enam beradik itu, dia kini tinggal di Kampung Adi Mulyo, Lampung, Indonesia setelah pergi ke sana sejak 11 tahun lalu.
Menurutnya, Hamidah sering bertanyakan khabar dan menghubungi dia dan suami, Mohd Noor Shaari, 75, yang kini mengalami penyakit saraf.
“Setiap kali dia (Hamidah) menghubungi saya, dia pasti akan menangis merayu kepada saya untuk mencari jalan supaya dia dapat pulang ke pangkuan keluarga selain dia amat merindui kami.
“Dia juga ada memaklumkan mahu pulang untuk melihat bapanya yang tidak sihat namun katanya tidak mendapat keizinan daripada suami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Wira, Mergong.
Aishah mendapat tahu Hamidah berada di Indonesia setelah menerima surat daripada anaknya yang memaklumkan dia berkahwin dan mempunyai seorang anak yang kini berusia lapan tahun.
Menurutnya, Hamidah ada memaklumkan yang dia sendiri tidak tahu bagaimana mengikut Taufik ke Indonesia dan hanya tersedar berada di sana setelah melahirkan anak tunggalnya.
Sebelum bekerja di Pulau Pinang, Hamidah pernah berkahwin selama lapan tahun namun, bercerai.
Menurutnya, ketika Hamidah bekerja di Pulau Pinang, dia langsung tidak pernah meluahkan hasratnya untuk berkahwin dengan Taufik atau mahu ke Indonesia walaupun pernah membawa Taufik ke rumah.
“Hamidah anak yang mendengar kata, saya juga terkejut bagaimana dia boleh mengikut lelaki pergi ke Indonesia.
“Saya amat berharap anak saya dapat pulang ke Malaysia kerana setiap hari saya membayangkan keadaannya di sana, apatah lagi setelah dimaklumkan mengenai kehidupannya sekarang yang serba kekurangan,” katanya.
Bapa Hamidah, Mohd Noor yang terlalu merindui anaknya tidak putus-putus memanjatkan doa supaya ada pihak yang dapat membantu membawa Hamidah pulang.
Dia yang tidak mampu untuk berjalan terlalu lama, setiap hari akan menunggu panggilan daripada Hamidah untuk melepaskan rindu.
“Saya rindu sangat dengan anak saya dan merayu supaya ada pihak yang dapat membantu kami membawa pulang Hamidah agar kami dapat bertemu dan berkumpul seperti dahulu,” katanya.
No comments:
Post a Comment