Oleh Syuhada Choo Abdullah
2010/08/12
KUALA LUMPUR: Sebahagian besar pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara mahu mahasiswa diberi kebebasan berpolitik dan menyertai mana-mana parti politik. Mereka berpendapat dasar itu akan mematangkan lagi politik tanah air serta melahirkan pemimpin pelapis yang peka terhadap isu semasa.
Selain itu, mereka menegaskan pembabitan politik tidak akan menjejaskan tumpuan utama terhadap pengajian kerana yakin mahasiswa sebagai golongan intelektual mampu mengimbangi perhatian antara kedua-dua aktiviti berkenaan.
Pengerusi Jemaah Yang Dipertua (YDP)/Presiden MPP IPTA Sidang 2009/2010, Ahmad Wafi Sahedan, berkata hasil kaji selidik ringkas di kalangan 335 perwakilan kepemimpinan tertinggi MPP yang menghadiri Konvensyen MPP IPTA di Bangi selama tiga hari sehingga Ahad lalu, menunjukkan 57 peratus bersetuju mereka dibenarkan menyertai parti politik dengan memberi justifikasi bahawa ia penting untuk kelangsungan politik negara.
Namun, 38 peratus lagi tidak bersetuju atas alasan enggan ekosistem dalam kampus terganggu akibat rencah politik di luar kampus, terutama dari segi penekanan terhadap kepentingan pengajian, selain mengelakkan mahasiswa diperkudakan oleh parti politik. Baki lima peratus perwakilan berbelah-bahagi dan belum pasti.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin berkata kerajaan tetap mengekalkan larangan berpolitik kepada pelajar IPTA walaupun ada gesaan mereka dibenarkan terbabit secara aktif dalam parti politik.
Bagaimanapun, Ahmad Wafi berkata, pendapat kepemimpinan tertinggi MPP tidak boleh dianggap sebagai pendirian rasmi, sebaliknya perlu dikaji secara serius kerana membabitkan pelbagai implikasi jangka pendek dan panjang.
Dalam konteks ini, beliau berkata, isu mahasiswa berpolitik perlu dibincangkan dengan lebih mendalam kerana ia bukan saja membabitkan perubahan besar dalam landskap universiti, malah masa depan negara.
Kita tidak harus terburu-buru membuat keputusan. Kami percaya pandangan pelbagai pihak, termasuk mahasiswa, pensyarah dan pengurusan universiti perlu diambil kira. Justeru, semua MPP dalam proses mendapatkan maklum balas peringkat akar umbi di universiti masing-masing, katanya.
No comments:
Post a Comment