Thursday, April 17, 2014

MH370: Pelancong China batal tempahan bernilai RM100j


PUTRAJAYA 17 April - Insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 pada 8 Mac lalu memberi impak terhadap ketibaan pelancong dari China apabila 30 peratus tempahan telah dibatalkan melibatkan kos RM100 juta.
Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Seri Ng Yen Yen berkata, kesan tersebut direkodkan dalam tempoh enam minggu, iaitu sejak peristiwa kehilangan pesawat tersebut berlaku. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140417/dn_34/MH370-Pelancong-China-batal-tempahan-bernilai-RM100j#ixzz2z8GjSl00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Putera Bandar letak jawatan

Putera Bandar letak jawatan
Peletakan jawatan Putera Bandar memberi tekanan kepada AS dan sekutu. 
17 April 2014 RIYADH - ARAB SAUDI. Jawatan Ketua Risikan Arab Saudi yang sebelum ini dipegang Putera Bandar bin Sultan telah diganti oleh timbalannya, Yousef al-Idrissi, menurut media tempatan, kelmarin.

Dekri diraja itu diumumkan atas persetujuan Putera Bandar yang memilih untuk melepaskan jawatan disandangnya sejak Julai 2012.

Menurut Al-Arabiya, Bekas Duta Saudi ke Amerika Syarikat (AS) itu mula mendapat perhatian masyarakat antarabangsa selepas banyak pihak menuduh beliau sebagai dalang di sebalik konflik meruncing di Syria.

Dakwaan itu diperkukuhkan lagi selepas beliau dilaporkan berada di luar negara selama beberapa bulan dengan tujuan untuk menyalurkan bantuan kepada puak penentang rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Fail mengandungi bukti kegiatan Putera Bandar juga dikatakan telah diserahkan kepada Menteri Dalam Negeri Putera Mohammed bin Nayef.

Walaupun dihimpit dengan pelbagai kontroversi, beliau juga pernah mencapai beberapa kejayaan besar seperti dapat meyakinkan Rusia supaya tidak menolak Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengusir tentera Iraq dari Kuwait susulan pencerobohan Baghdad pada 1990.

Selain itu, beliau juga banyak melibatkan diri dalam hubungan diplomatik berkaitan krisis di Lubnan selepas pembunuhan bekas Perdana Menteri Rafiq Hariri yang merupakan sekutu kuat Saudi.

Kereta perisai kibar bendera Rusia di Ukraine







BEBERAPA lelaki bersenjata dan berpakaian tentera dilihat menaiki beberapa buah kereta perisai memasuki bandar Slavyansk, Ukraine semalam.- AFP






SLAVYANSK – Beberapa buah kereta perisai yang mengibarkan bendera Rusia memasuki bandar ini, timur Ukraine semalam, sehari selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin memberi amaran bahawa Ukraine kini di ambang perang saudara.
Keadaan semakin tegang menjelang rundingan diplomatik peringkat tinggi berhubung krisis Ukraine yang dijadualkan di Geneva hari ini selepas Kiev menghantar tentera untuk mengusir anggota-anggota pemisah pro-Moscow dari timur negara itu.
Seorang wartawan agensi berita AFP di sini melihat sekurang-kurangnya enam buah kereta perisai membawa berpuluh-puluh lelaki bersenjata masuk ke bandar ini.
Media Rusia melaporkan bahawa kereta-kereta perisai itu membawa askar Ukraine yang berpaling tadah untuk menyertai kumpulan pemisah.
Namun, tentera Ukraine memberitahu AFP bahawa pihaknya tidak menerima laporan tentang sebarang rampasan melibatkan peralatan ketenteraannya.
Sementara itu, sekumpulan lelaki bersenjata pro-Rusia bertindak menyerbu pejabat datuk bandar di Donetsk.
Ketika situasi di timur Ukraine kian meruncing, kerajaan Ukraine meningkatkan kecaman terhadap Rusia apabila Perdana Menteri Arseniy Yatsenyuk menuduh Moscow cuba membina Tembok Berlin baharu di negaranya. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0417&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2z67LkJYv 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, April 16, 2014

MH370: Tiada objek berkaitan ditemui dalam misi sulung Bluefin-21


16/04/2014 11:49am

PERTH - Tiada objek berkaitan dengan kepentingan pencarian ditemui daripada data yang dikumpul kenderaan dalam air autonomi (AUV) Bluefin-21 pada Isnin lepas untuk membantu mengesan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) berkata, ini berdasarkan kepada analisis kesemua data yang dikumpul selama enam jam.
Menurut agensi itu dalam kenyataan di sini hari ini, Bluefin-21 meneruskan operasi pencarian pada Selasa malam selepas diturunkan dari kapal pertahanan Australia, Ocean Shield untuk misi kedua.
Ketua penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), Ketua Marsyal Udara (Bersara) Angus Houston pada sidang akhbar berkata, setiap misi Bluefin-21 akan memakan masa sekurang-kurangnya 24 jam termasuk empat jam untuk memuat turun serta menganalisis data yang dikumpul.
Bluefin-21 dilengkapi sistem pengesan sonar menggunakan bunyi akaustik untuk menghasilkan peta tiga dimensi di dasar laut, dihantar untuk membantu mengesan sebarang serpihan pesawat MH370 yang hilang. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0416&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_03.htm#ixzz2z1b1L7q5 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, April 15, 2014

Jokowi Presiden Indonesia?

Jokowi Presiden Indonesia?
“SAYA mendapat mandat daripada Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Megawati Soekarnoputri untuk menjadi calon Presiden Indonesia. Dengan ucapan Bismillah saya sedia melaksanakan tanggungjawab ini,” – Joko Widodo.

Nama Joko Widodo atau lebih mesra disapa Jokowi kini menjadi sebutan untuk bergelar Presiden Indonesia sekali gus menjadi  tokoh paling popular di negara itu.

Namun, adakah beliau bakal terpilih sebagai Presiden bagi menggantikan untuk Susilo Bambang Yudhoyono yang tamat tempoh pemerintahannya selama lima tahun?

Justeru, sejak tahun lalu lagi, desas desus Gabenor Jakarta itu mengumumkan kesediaan menjadi calon Presiden bertiaup kencang.

Terkenal dengan perwatakan ceria dan keperibadiannya berjiwa rakyat, nyata beliau begitu disenangi rakyat. Malah pendekatan secara terus dengan imejnya sebagai rakyat biasa menjadikan Jokowi sebagai calon popular untuk menjadi presiden yang baharu.


Pendidikan dan kerjaya datuk bandar

Jokowi dilahirkan pada 21 Jun 1961, berasal daripada keluarga sederhana dan membesar di perkampungan setinggan di Surakarta atau lebih dikenali sebagai Solo, Jawa Tengah.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Dasar (SD) dan kemudian meneruskan pendidikan di Sekolah Menengah Pertama (SMP) dan Sekolah Menengah Atas (SMA) di Solo.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan mendapat ijazah kejuruteraan di Fakulti Perhutanan dari Universiti Gadjah Mada pada 1985.

Jokowi bertemu isterinya Iriana iaitu kakak kepada kawannya ketika beliau pulang ke rumah semasa menghabiskan cuti semester. Mereka berkahwin selepas Jokowi menamatkan pengajian dan pasangan tersebut dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Pada 2005, Jokowi mula menyertai dunia politik selepas dipilih menjadi Datuk Bandar Solo. Semasa mula memegang jawatan tersebut, ramai yang meragui kewibawaannya kerana beliau sebelum ini hanya bekerja di sebuah syarikat perabot.

Bagaimanapun, selepas setahun berkhidmat Jokowi mengecap banyak kejayaan cemerlang dan mendapat pujian hingga ke peringkat kebangsaan.

Melalui satu penyelidikan akademik, gaya kepimpinan Jokowi termasuk hubungan terus dengan rakyat Solo mampu memberikan kepercayaan rakyat kepadanya.

Selain itu, kerjayanya sebagai seorang ahli perniagaan yang sering ke luar negara secara tidak langsung memberinya peluang untuk mengaplikasikan rangka kerja pembangunan Eropah ke dalam pembangunan bandar di Solo.

Karier politiknya semakin bersinar selepas beliau berjaya mewujudkan sebuah sistem tram dan menempatkan semula penjaja jalanan di bandar itu.

Di bawah pimpinannya, Solo mengalami perubahan positif dan penjenamaan semula bandar itu dengan moto ‘Semangat Jawa’ dilihat sebagai satu langkah yang berjaya.

Susulan penjenamaan terbaharu Solo, beliau turut memohon bandar berkenaan untuk menjadi ahli Pertubuhan Bandar Warisan Dunia dan telah diluluskan pada tahun 2006. Kemudiannya, Solo dipilih menjadi tuan rumah untuk Festival Muzik Dunia pada 2007 yang diadakan di Kompleks Fort Vastenburg.

Kejayaan beliau itu mula mendapat perhatian sekali gus memudahkannya dipilih untuk jawatan tertinggi di Jakarta pada 2012.


Gabenor Jakarta

Jokowi mula dipilih sebagai Gabenor Jakarta pada 20 September 2012 selepas memenangi pilihan raya gabenor pusingan kedua setelah menewaskan penyandang gabenor Fauzi Tunku.

Kemenangan Jokowi untuk memberikan perkhidmatan selama lima tahun sehingga 2017 dilihat sebagai cerminan sokongan untuk pemimpin baru dan bersih daripada gaya politik lama di Indonesia.

Jokowi telah menjadi seorang gabenor yang aktif dan berprofil tinggi di Jakarta. Beliau sangat prihatin terhadap rakyatnya kerana kerap melawat masyarakat tempatan dan sering ke kawasan penduduk miskin di seluruh Jakarta.

Cara sebegitu telah lama diamalkan sejak beliau menjadi Datuk Bandar Solo antara tahun 2005 hingga 2007.


Minat muzik rock

Menurut sebuah majalah The Economist, Joko mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock dan dipercayai pernah memiliki gitar bass yang ditandatangani salah seorang ahli kumpulan rock terkenal Metallica.

Pada Jun tahun lalu, pengarah filem Azhar Lubis mengarahkan filem Jokowi iaitu sebuah filem berkisarkan kehidupan Joko sejak dari kanak-kanak sehingga beliau menjadi seorang gabenor.


Anugerah dan penghormatan

2008- Disenaraikan sebagai salah seorang Top 10 Datuk Bandar Indonesia 2008 oleh majalah Tempo
2010- Menerima Anugerah Bung Hatta untuk kepimpinan dan prestasinya semasa membangunkan bandar Solo
2011- Dianugerahkan Bintang Jasa Utama oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono
2012- Menduduki tempat ketiga untuk Hadiah Datuk Bandar Dunia 2012 dalam mengubah sebuah bandar jenayah kepada sebuah pusat serantau seni dan budaya serta bandar yang menjadi tarikan pelancong
2013- Tersenarai sebagai salah seorang Pelopor Pemikir Global 2013 oleh majalah Foreign Policy
-Tercalon sebagai datuk bandar global pada bulan Februari oleh The City Mayors Foundation yang berpangkalan di London
2014- Tersenarai sebagai salah seorang daripada 50 Pemimpin Terhebat Dunia oleh majalah Fortune


Saingan Jokowi untuk calon presiden

Aburizal Bakrie (Parti Golkar)
Jeneral Wiranto (Parti Hanura)
Yusri Ihza Mahendra (Crescent Star Party)
Suryadharma Ali (United Development Party)

Polis sahkan sita telefon bimbit Tian Chua untuk siasat kes hasutan


2014/04/15 - 12:21:39
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan pihaknya telah menyita telefon bimbit milik Anggota Parlimen Batu, Tian Chua di sebuah hotel di Petaling Jaya kira-kira pukul 8 malam tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi Bernama hari ini berkata telefon bimbit Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat itu disita untuk membantu polis menyiasat kes di bawah Akta Hasutan 1948.
"Maklumat lanjut mengenai kes ini akan disiarkan melalui siaran media nanti, yang dilakukan (Bahagian) Hal Ehwal Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur," kata Khairi.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Tian Chua, Rozan Azen Mat Rasip berkata ketika didatangi 10 anggota polis berpakaian biasa, Tian Chua sedang bertemu dengan kenalannya di hotel terbabit.

"Mereka hanya menunjukkan waran untuk menyita telefon bimbit berkenaan, namun tidak menyatakan pula untuk tujuan apa. Mereka cuma kata untuk siasatan di bawah Akta Hasutan," katanya ketika dihubungi. - BERNAMA 

Bluefin-21 kesan MH370 di dasar laut


DRON penyelam dasar laut, Bluefin-21 untuk mencari MH370.


PERTH - Pasukan mencari telah menggunakan kenderaan dalam air automatik (AUV), Bluefin-21 semalam bagi meneruskan usaha mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang.
Ketua penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia, Ketua Marsyal Udara (B) Angus Houston (gambar kecil) berkata, keputusan menggunakan kenderaan khas itu diambil berikutan tiada lagi isyarat dikesan alat pengesan pinger sejak Selasa lepas.
"Walaupun tiada lagi isyarat dikesan, apa yang ada sebelum ini adalah petunjuk paling meyakinkan yang kami ada. Kami perlu terus menjejaki petunjuk itu dengan secepat mungkin," katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan operasi mencari pesawat berkenaan di sini semalam.



"Analisis yang dibuat terhadap empat isyarat sebelum ini memungkinkan satu definisi dibuat tentang kawasan mencari di dasar laut yang lebih kecil dan mudah diuruskan," katanya merujuk kepada data akustik yang dikesan kapal Australia, Ocean Shield minggu lepas.
Sehubungan itu, Houston berkata, para pakar memutuskan bahawa kapal Ocean Shield akan berhenti daripada membuat pencarian menggunakan alat pengesan pinger yang ditunda (TPL) petang semalam dan menggantikannya dengan penggunaan dron Bluefin-21.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0415&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2yvnEZ4LY 
Hakcipta terpelihara 

AS salur dana RM3.25 bilion kepada Ukraine


WASHINGTON 15 April - Amerika Syarikat (AS) bersedia untuk menyalurkan dana pinjaman berjumlah AS1 bilion (RM3.25 bilion) kepada Ukraine, sebagai sebahagian daripada pakej ransangan untuk memulihkan ekonomi negara tersebut selepas berlakunya pergolakan politik dengan Rusia.
"Rakyat Ukraine telah menunjukkan keberanian mereka dalam mempertahankan kemerdekaan dan kerajaan begitu memahami apa yang rakyat mereka mahukan. AS akan sentiasa berada di barisan hadapan untuk membantu Ukraine," kata Setiausaha Perbendaharaan AS, Jacob Lew dalam satu kenyataan semalam.
Pengumuman itu dibuat selepas Lew mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan Ukraine, Oleksandr Shlapak, di sini. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140415/lu_11/AS-salur-dana-RM325-bilion-kepada-Ukraine#ixzz2ytzeY56b
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rang undang-undang Bangsamoro dibentang Mei ini


Dua orang kanak-kanak lelaki, berjalan di hadapan sekumpulan anggota tentera Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Kem Darapanan di bandar Sultan Kudarat, Pulau Mindanao, selatan Filipina pada 27 Mac lalu. - AFP
MANILA 14 April - Kerajaan Filipina berharap rang Undang-Undang Asas Bangsamoro akan dikemukakan kepada Kongres pada sidang pertama bulan depan supaya draf itu dapat diluluskan oleh Presiden Presiden Benigno Aquino III, sebelum beliau menyampaikan ucapan peringkat kebangsaan pada Julai ini.
Setiausaha Operasi Komunikasi di Pejabat Presiden, Herminio Coloma Jr. berkata, beliau yakin rang undang-undang berkenaan tidak menghadapi masalah apabila diteliti oleh pihak kehakiman.
Jelasnya, kerajaan berharap rang undang-undang berkenaan akan selesai dikaji sebelum 5 Mei ini.
Aquino sebelum ini mengarahkan draf undang-undang itu perlu dibuat berdasarkan Perlembagaan 1987.
“Arahan tersebut merupakan perkara yang paling penting dalam memastikan rang undang-undang itu diluluskan," katanya kepada radio tempatan, dzRB, semalam.
Aquino dijangka mengesahkan rang undang-undang tersebut sebagai perkara penting yang akan dibentangkan di Dewan Senat dan Dewan Perwakilan untuk pertimbangan sebelum diluluskan secepat mungkin.
Menurut ketua perunding kerajaan, Miriam Coronel-Ferrer, Undang-Undang Asas Bangsamoro yang digubal oleh Kongres, perlu dilaksanakan sebagai akta asas di Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) berlandaskan Perlembagaan 1987.
Seramai 15 wakil Suruhanjaya Peralihan Bangsamoro dijangka menyerahkan draf rang undang-undang itu untuk diteliti terlebih dahulu oleh pasukan peguam Presiden sebelum diserahkan kepada Aquino bagi dibentangkan di Kongres.
Semalam, ahli Senat Filipina berpendapat sebuah jawatankuasa khas mungkin perlu dibentuk bagi menilai draf Undang-Undang Asas Bangsamoro itu untuk memastikan proses perbincangan dan penubuhan wilayah autonomi di Mindanao dapat dilaksanakan pada hujung tahun ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140415/lu_03/Rang-undang-undang-Bangsamoro-dibentang-Mei-ini#ixzz2ytzWFckY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Hudud: Sultan Brunei tangkis kritikan antarabangsa


BRUNEI DARUSSALAM 14 April - Ketua negara Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah menangkis kritikan antarabangsa berhubung pelaksanaan hukum hudud di negaranya dan menafikan bahawa tindakan itu satu langkah ke belakang.
Laman web, Mail Online melaporkan Mac lalu, Sultan Hassanal bertitah, semua bangsa perlu bersatu di bawah undang-undang syariah dan baginda menyifatkan kod panel baharu itu merupakan kejayaan besar Brunei.
Hukum hudud yang memperuntukkan hukuman sebat dan rejam sehingga mati bagi kesalahan tertentu, mula dilaksanakan bulan ini.
Sultan Hassanal turut bertitah, pihak luar perlu menghormati sebarang keputusan Brunei sama seperti negara ini menghormati keputusan pihak lain.
Kelmarin, jurucakap Suruhanjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Rupert Colville mengkritik pelaksanaan hukum hudud oleh Brunei yang dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa.
Jelas Colville, pihaknya memandang serius pelaksanaan undang-undang Islam tersebut yang turut memperuntukkan hukuman mati bagi kesalahan seperti merogol, berzina dan meliwat.
Colville berkata, negara Islam itu sepatutnya tidak melaksanakan langkah tersebut kerana undang-undang antarabangsa menyatakan hukuman rejam sehingga mati misalnya dikategorikan sebagai kejam dan penyeksaan serta tidak berperikemanusiaan, sekali gus diharamkan di bawah perjanjian-perjanjian hak asasi manusia.
Brunei tidak melaksanakan hukuman mati sejak 1957 dan turut mengharamkan penjualan serta pengambilan minuman keras dalam kalangan penduduk Islam negara ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140415/lu_02/Hudud-Sultan-Brunei-tangkis-kritikan-antarabangsa#ixzz2ytzQSBTA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, April 14, 2014

‘Ambillah hati kami’

 Sudah kering air mata bagi seorang ibu Azlina Ahmad, 32, untuk meratapi penderitaan anak kecilnya Muhammad Habib Rayyan Rosli, 20 bulan, yang menghidap penyakit kegagalan hati kronik.

Walaupun reda dengan ketentuan dan ujian Allah SWT, hati ibu mana yang sanggup melihat anak sekecil itu menderita hingga menyebabkan perutnya membengkak.
“Saya hanya mahu melihat anak membesar seperti kanak-kanak lain, dan apabila Hospital Universiti Nasional Singapura mengesahkan dia mempunyai masalah hati, saya mahu memberi sebahagian hati kepadanya,” kata guru itu.
Dia kini hanya menunggu pemeriksaan kesihatan dan juga pemeriksaan darah bagi memastikan sama ada dia atau suami Rosli Mohd Noh, 37, sesuai untuk menderma sebahagian hati untuk anaknya.
“Saya dan suami sanggup berkorban apa saja, ambillah hati kami asalkan anak kami sihat.
“Kami berdua hanya memanjatkan doa dan harapan agar kami adalah penderma yang sesuai untuk Muhammad Habib, namun jika keputusan sebaliknya, maka kami terpaksa memohon bantuan mencari penderma lain,” katanya dengan nada sayu.
Kata Azlina, lebih tiga bulan mereka menanti jawapan sebenar mengenai masalah kesihatan anak bongsu daripada dua beradik itu.
“Doktor yang melakukan pemeriksaan mendapati hati anak saya sudah keras dan gagal berfungsi dengan baik.

Hanya pembedahan pemindahan hati adalah jawapannya,” katanya.
Satu lagi masalah yang dihadapi mereka adalah kos pembedahan pada awalnya sekitar RM200,000 tetapi kini meningkat kepada RM500,000.
“Memang jumlah ini sangat besar tetapi kami akan berusaha mencari wang bagi menampung perbelanjaan pembedahan itu.
Foto

Saya berharap orang ramai dapat membantu meringankan beban kami,” katanya.
Kelmarin, mereka menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu Norsabrina Mohd Noor yang turut menyampaikan sumbangan pemberian orang ramai di rumahnya di Taman Cempaka, Selama.
Norsabrina berkata, pihaknya mewujudkan tabung bagi membantu Muhammad Habib sedaya mungkin dan ramai yang prihatin turut membantu.
“Saya akan mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak bagi mendapatkan pandangan kemungkinan pembedahan serta rawatan dapat dilakukan di dalam negara kerana kosnya mungkin dapat dikurangkan,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Azlina di talian 017-4230358 untuk maklumat lanjut atau menghulurkan bantuan melalui akaun semasa Maybank 558211512260 atas nama Azlina Ahmad.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/14

Ukranie lancar operasi 'anti-pengganas'


Kumpulan bersenjata pro-Rusia berkawal berhampiran ibu pejabat polis di bandar Slaviansk, kelmarin. - REUTERS
SLAVIANSK, Ukraine 13 April - Pa­sukan keselamatan Ukranie, hari ini melancarkan operasi ‘anti-pengganas’ bagi menamatkan ancaman aktivis pemisah di bahagian timur negara ini,
“Operasi anti-pengganas akan bermula di Slaviansk. Ia bakal dipantau oleh pusat anti-pengganas perkhidmatan keselamatan negara, dengan semua unit pasukan keselamatan dikerah bagi menyertai operasi ini," kata Menteri Dalam Negeri Ukranie, Arsen Avakov yang dipetik oleh agensi berita Interfax dari laman sosial Facebooknya.
Semalam, aktivis pro-Rusia bersenjata automatik menawan bangunan kerajaan di bandar Slaviansk, kira-kira 150 kilometer dari sempadan Rusia, selain membina penghadang di kawasan pinggir bandar berkenaan.
Ketika kejadian, kira-kira 12 orang wanita berada di bangunan tersebut, namun kesemua mereka kemudian dibebaskan sejurus selepas aktivis pemisah mengetahui kenyataan Avakov itu.
Sekumpulan 100 orang penduduk awam yang terdiri daripada wanita berusia, berada di hadapan bangunan yang ditawan, sambil melaungkan mesej ‘perpaduan’ kepada pemisah yang berada di dalam bangunan tersebut.
Ini termasuklah perkataan ‘pungutan suara’ yang merujuk kepada permintaan supaya pilihan raya tempatan diadakan untuk menentukan status rantau ini.
Dalam satu lagi kenyataan, Avakov turut menggesa penduduk di bahagian timur Slaviansk supaya berada di dalam rumah, bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Penduduk awam dilarang berada di tengah bandar ini. Jangan keluar dari rumah dan jangan berdiri hampir dengan tingkap," katanya. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140414/lu_04/Ukranie-lancar-operasi-anti-pengganas#ixzz2yo5mVEXQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pasukan mencari berusaha kecilkan kawasan carian



SEORANG anggota tentera laut Australia diturunkan dari sebuah helikopter dengan menggunakan tali untuk mengambil satu serpihan di kawasan pencarian di Lautan Hindi kelmarin.


PERTH - Pasukan mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 kini berusaha mengecilkan kawasan carian sebelum Kenderaan Dalam Air Automatik iaitu BlueFin 21 digunakan bagi operasi di dasar laut.
Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC) dalam satu kenyataan semalam berkata, mereka memerlukan isyarat kotak hitam yang baharu untuk mengecilkan kawasan carian sebelum BlueFin 21 boleh digunakan.
Bagaimanapun, para pegawai bimbang jangka hayat bateri pada kotak hitam mungkin sudah tamat selepas tiada lagi isyarat baharu dikesan sejak kali terakhir dikesan pada Selasa lalu.
Kata JACC, usaha untuk mengesan pesawat Boeing 777-200 yang hilang sejak 8 Mac lalu diteruskan dengan 11 buah pesawat dan 14 kapal dihantar di selatan Lautan Hindi semalam.
Pada minggu lepas sebanyak empat isyarat detik dikesan dipercayai dipancarkan oleh kotak hitam yang mengandungi data penerbangan serta rakaman suara kokpit.
Pasukan mencari kini memberi tumpuan mencari kotak hitam berkenaan kerana ia merupakan kunci terhadap jawapan mengenai apa yang sebenarnya berlaku terhadap MH370.
Dua isyarat getaran akustik dikesan pada Selasa lepas oleh Kapal Pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield dari kedalaman 4,500 meter di selatan Lautan Hindi.
Kawasan pencarian kotak hitam MH370 itu terletak sejauh 2,300 kilometer dari timur laut Perth.
Pihak berkuasa menganggarkan bateri kotak hitam mungkin boleh bertahan 10 hari lebih lama daripada jangka hayat asal iaitu 30 hari sebelum ia berhenti menghantar isyarat getaran.
Sejak Jumaat minggu lepas, pasukan mencari mengesan enam isyarat, dua daripadanya dikesan kapal China, Haixun 01, pada 4 dan 5 April lalu manakala kapal Ocean Shield mengesan empat isyarat pada 5 dan 8 April lepas.
Pesawat MH370 yang membawa seramai 239 penumpang dan anak kapal hilang selepas berpatah balik ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke China.
Analisis pada data satelit kemudiannya mendapati penerbangan pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0414&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2yo2Vkluj 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, April 13, 2014

Kapal perang AS tingkat ketegangan Moscow, Barat

Kapal perang AS tingkat ketegangan Moscow, Barat
ANKARA – TURKI. Ketegangan yang tercetus di antara Moscow dan negara Barat kian memuncak apabila Turki membenarkan kapal perang milik Amerika Syarikat (AS) tinggal 21 hari lebih lama dari tempoh yang dibenarkan.

Menurut laporan The Strait Times Rusia, berdasarkan perjanjian antarabangsa yang dimeterai membenarkan kapal perang milik AS berada di Laut Hitam dalam tempoh masa tertentu.

Pihak Turki bagaimanapun menolak sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan pihaknya membenarkan kapal perang tersebut berada di situ melebihi tempoh ditetapkan, lapor AFP.

Menurut Menteri Luar Turki, Sergei Lavrov, kapal perang AS sudah melanggar Perjanjian Konvensyen Montreux 1936.

“Kami akan membawa perkara ini ke pihak AS dan juga pihak Turki,” katanya.

Kenderaan robotik boleh bergerak sedalam 4,500 meter



GAMBAR fail menunjukkan Kenderaan Dalam Air Automatik, Blue Fin 21 diangkat ke atas kapal Ocean Shield milik Australia pada 1 April lalu.


PERTH - Kenderaan Dalam Air Automatik milik Amerika Syarikat iaitu Blue Fin 21 boleh bergerak sedalam 4,500 meter ke dalam Lautan Hindi.
Ia yang merupakan kenderaan robotik akan dihantar ke dasar Lautan Hindi selepas para pegawai yang terlibat mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu tidak lagi menemui isyarat getaran yang pernah dikesan sebelum ini.
Isyarat getaran yang sebelum ini dikesan beberapa kapal pencari pesawat MH370 itu dikesan datang dari kedalaman 4,500 meter di selatan Lautan Hindi.
Kawasan pencarian kotak hitam MH370 itu terletak sejauh 2,300 kilometer dari timur laut Perth.
Kenderaan robotik itu akan mengambil masa enam minggu hingga dua bulan untuk mencari di zon kawasan pencarian pesawat MH370 itu.
Sebanyak 10 buah pesawat dan 14 buah kapal terlibat dalam misi mencari kapal terbang MH370 itu semalam. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0413&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2yiHs5DNo 
Hakcipta terpelihara 

Tiada lagi isyarat kotak hitam


DUA pesawat Ilyushin IL-76 milik China yang menyertai misi mencari pesawat MH370 berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth, Perth semalam. - AFP


PERTH - Memasuki hari ke-36 misi mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 di Lautan Hindi, tumpuan kini bagi pengerahan Kenderaan Dalam Air Automatik milik Amerika Syarikat Blue Fin 21 kerana dikhuatiri bateri kotak hitam telah kehabisan berikutan tiada isyarat dikesan pasukan mencari bagi tempoh 24 jam lepas.
Dua isyarat getaran akustik dikesan pada Selasa lepas oleh Kapal Pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield manakala satu isyarat dikesan pesawat Australia AP-3C Orion pada Khamis lalu disahkan tidak ada kaitan dengan alat pengesan isyarat pesawat di bawah permukaan air.
Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) berkata, bagi misi mencari semalam, kapal Ocean Shield terus menumpukan usaha untuk mengesan isyarat daripada kotak hitam pesawat dengan menggunakan alat pengesan pinger ditunda.
Menurutnya, AP-3C Orion turut meneruskan misi pencarian akustik, bersama-sama kapal Ocean Shield dan kapal oseanografi HMS Echo.
"Tiada sebarang pengesanan akustik disahkan dalam tempoh 24 jam lepas," menurut JACC dalam kenyataan semalam.
Pihak JACC berkata, sembilan pesawat tentera, sebuah pesawat awam dan 14 kapal terbabit dalam misi mencari MH370 di Lautan Hindi semalam, melibatkan kawasan seluas kira-kira 41,393 kilometer persegi.
Kawasan pencarian bertumpu di sekitar kira-kira 2,331 kilometer barat laut Perth, katanya.
"Berdasarkan ramalan cuaca hari ini (semalam), tiupan angin dari arah tenggara selaju 10 knot dan hujan sekejap-sekejap, ombak setinggi satu meter dan jarak penglihatan lima kilometer dalam keadaan hujan," kata JACC.
Menurut JACC, tiada sebarang objek yang diambil dari kawasan pencarian mempunyai kaitan dengan pesawat MH370.
Pada Rabu lepas, Ketua Penyelaras JACC, Angus Houston berkata, Kenderaan Dalam Air Automatik akan dikerahkan sebaik sahaja tiada isyarat dikesan.
Pihak berkuasa menganggarkan bateri kotak hitam mungkin boleh bertahan 10 hari lebih lama daripada jangka hayat asal iaitu 30 hari sebelum ia berhenti menghantar isyarat getaran.
Sejak Jumaat minggu lepas, pasukan mencari mengesan enam isyarat, dua daripadanya dikesan kapal China, Haixun 01, pada 4 dan 5 April lalu manakala kapal Ocean Shield mengesan empat isyarat pada 5 dan 8 April lepas.
Kotak hitam merekodkan data perbualan di kokpit dan data penerbangan mungkin memberikan jawapan mengenai apa yang sebenarnya berlaku terhadap MH370.
Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari sama.
Misi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai negara, pada mulanya di kawasan Laut China Selatan sebelum beralih ke selatan Lautan Hindi.
Berikutan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit milik United Kingdom, Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah-tengah Lautan Hindi, barat Perth. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0413&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2yiHaniRJ 
Hakcipta terpelihara 

Agenda MISC telah tersasar?


KUALA LUMPUR 12 April - Malaysia International Shipping Corporation (MISC) didakwa telah tersasar daripada agenda utama penubuhannya kerana tidak lagi berperanan untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu dan bumiputera.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, syarikat milik kerajaan (GLC) itu juga tidak membuka peluang kepada golongan tersebut untuk mengisi jawatan tertinggi sebaliknya mengutamakan rakyat asing.
Menurutnya, malah sarikat yang di­terajui Datuk Nasaruddin Md. Idris itu turut memberi tajaan kepada pekerja asing untuk melanjutkan pelajaran yang membabitkan kos tinggi.
“Bumiputera dan Melayu dianaktirikan sedangkan orang luar seperti warga asing dari Filipina, Bangladesh serta India diutamakan malah diberi tajaan melanjutkan pelajaran.
“Jawatan tinggi dalam MISC dikuasai oleh bukan bumiputera sehingga berlaku diskriminasi dalam pentadbiran khususnya ketika kenaikan pangkat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, Akademi Laut Malaysia (Alam) yang juga dibawah ‘jagaan’ MISC turut dimono­poli oleh bukan bumiputera termasuk jawatan Ketua Pegawai Eksekutifnya serta pensyarah di akademi itu yang diambil dari negara luar.
Menurut Azwanddin, ramai anak Melayu mengeluh seolah-olah mereka dianaktirikan oleh syarikat perkapalan negara sendiri yang sanggup mengambil anak kapal dari negara luar dengan alasan kos buruh yang rendah.
Sedangkan katanya, ramai anak Melayu berkelayakan dan mempu­nyai kelulusan dalam bidang perkapalan boleh mengisi jawatan itu sekali gus mampu meningkatkan ekonomi orang Melayu.
Jelas beliau, orang Melayu terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk mengikuti kursus di peringkat persijilan sebaliknya pelajar luar negara mendapat tajaan pe­ngajian penuh.
“Untuk pembelajaran selama enam semester di MISC, memerlukan kos sebanyak RM100,000, sepatutnya anak Melayu harus diberikan kuota untuk belajar berbanding dengan pelajar luar negara.
“Mengapakah harus wang itu digunakan bagi membiayai kos belajar untuk orang luar?" soalnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140413/dn_21/Agenda-MISC-telah-tersasar#ixzz2yiGxM7vx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Najib ziarah Haron Din di IJN


Najib Tun Razak beramah mesra bersama Haron Din semasa melawat Timbalan Mursyidul Am Pas itu di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, semalam. Turut sama, Huda Haron dan Amin Ariff Nuruddin. - BERNAMA
KUALA LUMPUR 12 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menziarahi Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din di Institut Jantung Negara (IJN) di sini.
Najib yang tiba pada 1.30 tengah hari, meluangkan masa kira-kira 30 minit bersama Haron, yang menerima rawatan di IJN sejak seminggu lalu.
Haron, 73, kelihatan ceria sambil ditemani anaknya, Dr. Huda Haron dan menantu, Dr. Azlin Azzuddin.
Turut serta Pakar Perunding Kardiologi IJN, Datuk Dr. Amin Ariff Nuruddin.
Sementara itu, Najib dalam catatan terbaharu di laman facebook beliau berkata, keadaan kesihatan Haron bertambah baik dan beliau mendoakannya kembali sihat seperti sediakala.
“Alhamdulillah, kesihatan beliau beransur baik. Sama-samalah kita berdoa agar beliau segera sembuh seperti sediakala," katanya yang turut memuat naik gambarnya menggenggam erat tangan tokoh agama itu.
Kali terakhir Haron menerima rawatan di IJN ialah pada hujung Januari lepas.

Pelaksanaan hudud Brunei dikritik


GENEVA 12 April - Pelaksanaan hukum hudud oleh Brunei yang memperuntukkan hukuman mati bagi beberapa kesalahan bermula bulan ini, mendapat kritikan Suruhanjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Jurucakap suruhanjaya itu, Rupert Colville berkata, pihaknya memandang serius pelaksanaan undang-undang Islam tersebut yang turut memperuntukkan hukuman mati bagi kesalahan seperti merogol, berzina dan meliwat.
Jelasnya, antara kesalahan lain yang boleh dijatuhi hukuman mati ialah menghina Nabi Muhammad S.A.W, al-Quran dan hadis.
“Pelaksanaan hukuman mati oleh Brunei menyalahi undang-undang antarabangsa," kata beliau kepada pemberita di sini semalam.
Brunei tidak melaksanakan hukuman mati sejak 1957.
Colville berkata, negara Islam itu sepatutnya meneruskan langkah tersebut dan bukan melaksanakannya.
Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada Oktober tahun lalu mengumumkan negaranya bakal melaksanakan hukum hudud yang turut memperuntukkan hukuman sebat dan rejam sehingga mati bagi kesalahan tertentu.
Jelas Colville, undang-undang antarabangsa menyatakan hukuman rejam sehingga mati misalnya dikategorikan sebagai ‘kekejaman dan penyeksaan’ serta tidak berperikemanusiaan sekali gus diharamkan di bawah perjanjian-perjanjian hak asasi manusia.
Selain mengamalkan hukum hudud, Brunei turut mengharamkan penjualan dan pengambilan minuman keras dalam kalangan penduduk Islam. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140413/lu_01/Pelaksanaan-hudud-Brunei-dikritik#ixzz2yiFCOLa0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday, April 12, 2014

Isyarat milik MH370


Sydney: Perdana Menteri Australia Tony Abbott sangat yakin isyarat yang dikesan dalam pencarian MH370 yang hilang lebih sebulan lalu daripada kotak hitam pesawat itu.
Abbot berkata, pihaknya sudah mengecilkan kawasan carian dan sangat yakin beberapa isyarat yang dikesan sebelum ini datang daripada kotak hitam pesawat itu.
Beliau yang berada di Shanghai, China berkata, kawasan carian dikecilkan kerana pihaknya mengesan beberapa siri isyarat untuk tempoh agak lama.

“Bagaimanapun, kita berada pada tahap di mana isyarat yang kita yakini datang dari kotak hitam itu semakin lemah.
Foto
PESAWAT AP-3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia terbang rendah di sisi kapal HMAS Toowoomba ketika operasi mencari MH370 di Lautan Hindi.

“Kita berharap untuk mendapat maklumat sebanyak mungkin sebelum isyarat itu lenyap,” katanya.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/12

Fariq buat panggilan sebelum MH370 hilang

MH370
SHAH ALAM - Hasil siasatan dari pasukan siasatan telah mendedahkan satu maklumat terbaru berhubung insiden kehilangan MH370 sejak 8 Mac lalu.

Menurut laporan ekslusif yang dikeluarkan oleh New Straits Times hari ini, pihak berkuasa telah mendedahkan satu maklumat berhubung pembantu juruterbang, Fariq Ab Hamid yang membuat satu panggilan telefon ketika pesawat tersebut terbang pada ketinggian 5,000 kaki semasa melalui Pulau Pinang.

Menurut laporan itu lagi, panggilan telefon tersebut berjaya dilakukan berikutan pesawat tersebut yang terbang cukup rendah sehingga membolehkan menara kawalan telekomunikasi mengesan panggilan telefon yang dibuat.

Namun panggilan telefon tersebut disahkan terputus secara tiba-tiba sebelum kapal terbang tersebut hilang dari radar dan pasukan penyiasat masih melakukan siasatan terperinci ke atas maklumat tersebut.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyatakan seramai 205 orang saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan dalam membantu siasatan pihak polis.

Menurut beliau, pihak polisakan memanggil lebih ramai individu untuk membantu pihak polis menyelesaikan siasatan ke atas insiden kehilangan pesawat tersebut.

Pakar bimbang jika tidak jumpa kotak hitam

WARTAWAN SINAR HARIAN
MH370
Seorang tentera Australia melakukan misi pencarian melalui udara menggunakan helikopter Tiger 75, S-70B-2 Seahawk. Foto EPA 
12 April 2014
SHAH ALAM - Pencarian kotak hitam akan mengambil masa yang lebih lama malah mungkin terpaksa kembali semula seperti proses awal pencarian jika petunjuk yang lebih menyakinkan berkaitan  MH370 tidak ditemui dalam masa terdekat.

Pakar aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jangka hayat kotak hitam MH370 yang kian berakhir meletakkan operasi pencarian lebih sukar.

Bagaimanapun katanya, apa sedikit melegakan ialah sekalipun kotak hitam tidak lagi mengeluarkan isyarat, ia masih boleh ditemui berdasarkan isyarat detik terakhir dikesan.

"Kawasan carian telah dikecilkan berpandukan isyarat terakhir, justeru itu boleh dijadikan panduan," katanya.

Menurut Ahmad Samsuri, pasukanpencari pada masa ini sedang giat mengesan kotak hitam menggunakan kaedah robotik ke dasar lautan di kawasan isyarat ping itu dikesan. Kaedah lain pula, katanya akan digunakan jika isyarat tidak lagi ditemui iaitu pencarian di kawasan telah ditandai.

"Daripada kawasan ditandai, ia sedikit sebanyak membantu misi pencarian kotak hitam walaupun masa diambil untuk temui petunjuk seterusnya memakan masa lebih lama. Oleh itu, alat pengesan mengeluarkan gelombang bunyi bagi mengesan sebarang objek di dasar lautan perlu digunakan," katanya.

Ahmad Samsuri tidak menolak kemungkinan pencarian selepas hayat kotak hitam tamat akan membuahkan hasil hanya jika bangkai atau serpihan pesawat ditemui.

"Hanya itu saja jadi harapan pasukan pencarian waktu itu," katanya.

Dalam kebimbangan itu, beliau masih yakin kotak hitam akan ditemui dalam masa terdekat berdasarkan isyarat detik dikesan dua kapal tentera China dan Australia yang ada persamaan dengan kotak hitam pesawat.

Friday, April 11, 2014

Kondisi Sidek Hussien semakin teruk

AKMALIAH RAZAK & FOTO: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Sidek Hussien
Sidek Hussien
11 April 2014
 PADA penghujung tahun lalu, pelakon veteran, Sidek Hussein pernah memberitahu, bahawa kesakitan yang dialaminya itu kian parah.

Namun, hasrat melakukan pembedahan untuk membuang bengkak di pipi kanannya itu terpaksa dilupakan atas nasihat doktor pakar.

Ketika itu, doktor memberitahu bahawa pembedahan tidak dapat dilakukan kerana mengundang risiko tinggi dan boleh membawa maut.

Cuba bertahan sedaya upaya menanggung penderitaan, akhirnya Sidek, 63, terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) apabila dia pengsan di ibu kota pada 30 Mac lalu.

Menurut isterinya, Sebiah Sulaiman, 61, suaminya itu tiba-tiba pengsan di hadapan kedai pemborong barang mainan, di Chowkit, ketika berjalan di kawasan berkenaan.

"Sebelum keluar rumah, dia tidak menunjukkan sebarang reaksi ataupun mengadu kesakitan. Namun, sejak akhir-akhir ini, bengkak di pipinya itu semakin besar.

"Saya terpaksa meminta bantuan orang ramai agar menghubungi ambulans untuk membawanya ke hospital.

"Hari ini (semalam), sudah 11 hari dia berada di wad dan saya juga turut 'berkampung' di sini menguruskannya," kata isteri pelakon filem, Karak ini.

Walaupun kondisi kesihatan Sidek sudah tidak menentu sejak setahun yang lalu, namun kini penyakitnya itu semakin menular ke bahagian mulut.

Kata Sebiah, sejak enam bulan lalu, Sidek menolak semua makanan dan hanya bertahan dengan meminum air sahaja.

"Saya memang risau dengan kesihatannya kerana dia hanya bergantung pada air sahaja, " katanya.

Menurutnya, dia tidak lalu nak makan kerana terasa mual.

"Sekarang, butir percakapan juga semakin tidak jelas dan saya hanya boleh memahami segelintir sahaja kerana bengkak itu menolak mulutnya," kata Sebiah lagi.


Tunggu keputusan doktor

Pada 1982, Sidek pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan itu, namun ianya hanya sia-sia.

Menurut Sebiah, bengkak berkenaan kembali membesar tiga tahun selepas itu tanpa diketahui puncanya.

Katanya, sehingga ke hari ini, doktor masih tidak dapat mengesahkan penyakit yang dihidapi suaminya itu.

"Saya sendiri tak tahu apa penyakitnya kerana pada pembedahan pertama, doktor memberitahu ianya hanya bengkak biasa.

"Namun, bila ia membengkak lagi, situasi itu merisaukan kami. Semalam, doktor telah mengambil sampel dan dua minggu lagi, keputusannya akan diketahui.

"Sebelum ini, doktor ada memberitahu bahawa bengkak berkenaan turut melibatkan urat di bahagian otak dan paru-paru.

Kemungkinan besar, ia adalah barah,' katanya lagi Sebelum Ramadan tahun lalu, Sidek pernah menjalani pembedahan pintasan jantung namun, jantungnya tidak mampu menahan pembedahan lebih 10 jam.

Tambah Sebiah, Sidek amat jarang mengadu mengenai kesakitannya kepada keluarga termasuk dirinya sendiri.

"Dia memang jarang bercakap dan tidak suka mengadu kalau sakit. Mungkin dia tak mahu kami anak beranak risau.

"Namun, sebelum dia dimasukkan ke wad, dia ada menerima tawaran lakonan.

Namun, dia menolak kerana faktor kesihatan. "Lakonan filem terakhir adalah Paku Pontianak, dan drama, Abah, pada tahun lalu," jelasnya.

Sepanjang usia perkahwinan, Sidek mempunyai seorang anak bersama Sebiah yang kini bekerja di Kota Kinabalu manakala hasil perkahwinan terdahulu, Sidek mempunyai empat anak.

FAMA nafikan manggis yang dibawa MH370 adalah dari Muar

 KUALA LUMPUR 11 April - Polis setakat ini telah merekodkan lebih 205 keterangan daripada pelbagai pihak termasuk anggota keluarga penumpang dan anak kapal Malaysia Airlines MH370 bagi membantu siasatan berhubung kehilangan pesawat berkenaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, lebih banyak lagi yang akan dipanggil untuk membantu siasatan dan polis tidak akan mendedahkan hasil keterangan yang diambil bagi mengelakkan gangguan siasatan.

``Siasatan ini berterusan, dan setakat petang semalam kami telah merekodkan lebih 205 kenyataan dan lebih banyak kenyataan yang akan direkodkan... terdapat perkara tertentu yang kami perlu teliti semula untuk menjadikan siasatan kami lebih jelas,'' katanya kepada pemberita selepas majlis menghadiri aktiviti keagamaan Buddha sempena Peringatan Hari Polis ke-207 di sini, hari ini.

Ketika mengulas kenyataan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Johor yang menafikan manggis yang dibawa ke China menerusi pesawat MH370 adalah dari daerah Muar, beliau berkata ``tidak semestinya manggis itu ditanam di Johor, pembekalnya dari Muar.

``Saya tidak cakap ia dipetik dari Muar, saya cakap kita akan menyiasat sampai peringkat itu (di mana ia dipetik)... saya tidak kata ladangnya di Johor, memang manggis itu sebelum dibawa ke KLIA ia dihimpun di Muar.

Fama Johor sebelum ini menjelaskan manggis yang dibawa ke China menerusi pesawat MH370 tidak mungkin dihasilkan dari daerah Muar dan berdasarkan rekod Fama, tiada dusun di Johor yang menghasilkan manggis ketika ini kerana musim buah itu mulai Jun ini.

Khalid menjelaskan siasatan turut akan dijalankan bagi melihat sama ada makanan yang disediakan pembekal makanan bagi pesawat berkenaan beracun.

Penerbangan MH370 Kuala Lumpur-Beijing yang berlepas dari KLIA pada 12.41 tengah malam dilapor terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi ketika berada di ruang angkasa Malaysia-Vietnam.

Pesawat B777-200ER itu membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140411/dn_26/Polis-rekod-lebih-205-keterangan-berhubung-siasatan-kehilangan-pesawat-MH370#ixzz2yYhX6EA9

Akhbar Rusia dakwa MH370 kini di Kandahar


TEHERAN 10 April - Sebuah akhbar Rusia tampil dengan teori mendakwa pesawat berkenaan dirampas dan disembunyikan di wilayah Kandahar, Afghanistan berhampiran sempadan Pakistan.
Akhbar Moskovsky Komsomolets yang memetik sumber agensi perisikan Rusia turut melaporkan bahawa kedua-dua juruterbang pesawat berkenaan tidak bersalah dalam insiden tersebut.
"Pesawat MH370 yang membawa seramai 239 penumpang bersama anak kapal dirampas. Kedua-dua juruterbang itu tidak bersalah, pesawat itu dirampas oleh beberapa pengganas yang tidak diketahui.
"Kami tahu nama pengganas yang memberi arahan kepada juruterbang adalah 'Hitch'. Pesawat itu berada di Afghanistan, tidak jauh dari Kandahar berhampiran sempadan Pakistan,"lapor akhbar itu yang mempunyai edaran kira-kira 1.1 juta. Menurut laporan akhbar itu, pesawat itu berada di sebuah jalan raya berhampiran kawasan pergunungan dan sayap kapal terbang itu patah.
"Mungkin pesawat itu mendarat dalam keadaan tidak lancar, namun semua penumpang dalam kapal terbang itu selamat, mereka hidup tanpa makanan,"katanya.
Bagaimanapun, sumber atau agensi perisikan dalam laporan itu tidak dinamakan.
Malah, dakwaan akhbar itu juga tidak dilaporkan dalam mana-mana media arus perdana di Amerika Syarikat (AS) dan seluruh dunia.
Akhbar itu turut melaporkan, beberapa pakar dalam pesawat itu telah dibawa ke sebuah tempat persembunyian di Pakistan.
"Seramai 20 pakar Asia ditahan. Malah, terdapat seorang rakyat Jepun dalam kalangan mereka,"katanya yang mungkin merujuk kepada pekerja Freescale Semiconductor.
Pihak berkuasa Malaysia berkata, pesawat MH370 berakhir di tengah-tengah Lautan Hindi dan operasi pencarian untuk mengesan serpihan kapal terbang itu sedang dijalankan.
Pada 16 Mac lalu, akhbar The Independent turut melaporkan beberapa khabar angin bahawa pesawat tersebut telah terbang ke 'sebuah kawasan yang dikawal oleh Taliban', kira-kira seminggu selepas MH370 hilang.
"Pesawat MH370 yang hilang itu mungkin diterbangkan secara sengaja melepasi radar ke kubu kuat Taliban di sempadan Afghanistan, isu ini mungkin wujud berikutan pihak berkuasa berkata, mesej terakhir yang diterima dari kokpit selepas sistem transponder pesawat itu dimatikan.
"Namun, dakwaan ini dibuat sebelum pihak berkuasa Malaysia mengumumkan MH370 hilang di suatu tempat di Lautan Hindi,"katanya.
Pihak berkuasa Australia sedang mengetuai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di pesisir pantai Perth yang terletak di barat negara itu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140411/dn_08/Akhbar-Rusia-dakwa-MH370-kini-di-Kandahar#ixzz2yZFGgZu2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, April 10, 2014

Pelakon veteran Sidek Hussain kini derita hidap kanser




KUALA LUMPUR – Selepas 30 tahun menanggung derita ketumbuhan di pipinya, pelakon veteran Sidek Hussain (gambar) disahkan menghidap penyakit kanser.
Berita itu ternyata mengejutkan aktor berusia 63 tahun hingga mencetuskan kebimbangan terhadap kos rawatan yang mencecah puluhan ribu ringgit yang harus ditanggungnya.
Sidek yang kini ditempatkan di Hospital Besar Kuala Lumpur sejak 30 Mac lalu berkata, beliau sendiri tidak pasti tahap kronik penyakitnya.
Namun yang pasti, akuinya, tubuh badannya semakin tidak bermaya dan lemah termasuk tidak lalu makan.
“Tahap berapa dan jenis kanser yang dihadapi saya hanya akan diketahui dalam masa dua minggu lagi,” katanya dengan nada tersekat-sekat dengan suara yang perlahan ketika dihubungi di sini semalam.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0410&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2yQjpNLCw 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, April 9, 2014

Ukraine tuduh Rusia dalang perpecahan



PENUNJUK perasaan pro-Moscow berkawal di sekatan yang dibina di bangunan Perkhidmatan Keselamatan Ukraine di Donetsk kelmarin. - AFP


KIEV - Polis menahan 70 orang yang menawan sebuah bangunan pentadbiran wilayah di timur Ukraine tetapi sejumlah penunjuk perasaan pro-Moscow masih bertahan di dua bandar lain di negara itu.
Perkembangan membimbangkan itu mendorong kerajaan Ukraine menuduh Rusia mendalangi percubaan untuk memecahkan negara tersebut.
Kiev menyatakan, rampasan bangunan awam di kawasan yang dihuni majoriti penduduk berbahasa Rusia di timur Ukraine pada Ahad lalu itu mengimbau kembali peristiwa wilayah Crimea yang dirampas oleh Rusia pada bulan lalu.
Menteri Dalam Negeri, Arsen Avakov memberitahu semalam bahawa kira-kira 70 anggota pemisah ditahan di bandar Kharkiv kelmarin.
Namun, beliau tidak memberi butiran terperinci mengenai operasi antipengganas yang dilancarkan bagi menawan kembali bangunan di Kharkiv itu tetapi berkata, dua anggota polis cedera akibat terkena letupan grenad.
Dalam pada itu, Rusia menafikan dakwaan Ukraine bahawa ia terlibat dalam kekacauan di negara berkenaan.
Namun, Moscow memberi amaran kepada Kiev supaya tidak menggunakan kekerasan terhadap penduduk Ukraine yang berbahasa Rusia.
Terdahulu, pasukan tempur khas Ukraine yang berseragam dan lengkap bersenjata berkawal di hadapan bangunan kerajaan yang dirampas semula kelmarin.
Dalam pada itu, kumpulan penunjuk perasaan pro-Rusia yang menawan bangunan kerajaan di Luhansk dan Donetsk menuntut supaya satu pungutan suara seperti yang pernah berlangsung di Crimea diadakan di wilayah mereka.
Pungutan suara tersebut bertujuan untuk memberi pilihan kepada penduduk tempatan sama ada untuk berpisah daripada Ukraine dan menyertai Rusia.
"Satu komplot anti-Ukraine sedang dilancarkan disusuli oleh tindakan tentera asing (Rusia) menyeberangi sempadan dan merampas wilayah negara ini," kata Perdana Menteri Ukraine, Arseny Yatseniuk ketika berucap di Parlimen.
"Kita tidak akan membiarkan perkara ini berlaku," tambahnya.
Sementara itu, agensi berita Itar-Tass memetik Timbalan Perdana Mneteri Ukraine, Vitaly Yarema sebagai berkata, pihak berkuasa tidak akan menyerbu bangunan kerajaan yang ditawan oleh kumpulan penunjuk perasaan tersebut.
Keputusan itu dibuat selepas rundingan diadakan di Donetsk melibatkan kumpulan penunjuk perasaan itu dan ahli perniagaan tempatan Rinat Akhmetov. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0409&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2yKqir3eO 
Hakcipta terpelihara