Monday, May 31, 2010

'Drama' di pasar Geylang Serai

SINGAPURA


SUDAH jatuh ditimpa tangga.Sudahlah ditangkap kerana mengemis, seorang mak cik berusia 60-an tahun kemudian tidak henti-henti dimarah suaminya.'Bodoh punya perempuan, aku dah cakap jangan mintak sedekah. Sekarang kan dah susah!' kata pak cik itu, sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.Itulah antara drama yang disaksikan pelanggan dan pegerai pasar Geylang Serai semalam semasa para pegawai Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan (MCYS) menjalankan operasi menahan para pengemis di pasar tersebut.Pak cik berusia 70-an tahun itu mula berang selepas isterinya 'ditangkap' para pegawai MCYS dari jabatan Khidmat Orang Miskin (DPS).Bagaimanapun, kemarahannya itu lebih ditujukan kepada isterinya, yang hanya menunduk bisu.Semasa cuba menerangkan keadaan kepada para pegawai MCYS itu, pak cik tersebut berkata ini bukan kali pertama isterinya itu ditangkap kerana mengemis di Geylang Serai.Menurutnya, beliau datang ke pasar itu semalam untuk membeli ubat.Apabila sedang sibuk mendapatkan ubat, beliau tidak menyangka isterinya juga sibuk mengemis.Mak cik dalam lingkungan usia 60-an tahun itu adalah antara empat pengemis, kesemuanya wanita, yang ditahan di pusat makanan pasar Geylang Serai dalam satu operasi MCYS semalam.Berita Minggu (BM) telah diundang untuk memantau operasi tersebut menyusuli laporan akhbar ini mengenai masalah pengemis di pusat makanan pasar itu pada 25 April lalu.Namun, BM tidak dibenarkan mewawancara pengemis ataupun anggota keluarga mereka.Selain dua pegawai MCYS, operasi yang mengambil masa kurang sejam itu disertai juga oleh dua pegawai polis Aetos.Operasi tersebut bermula sejurus selepas para pegawai itu tiba di pasar Geylang Serai kira-kira 9.55 pagi dan mereka menahan pengemis pertama kurang 10 minit selepas itu.Dalam operasi semalam, kesemua pengemis itu pasrah apabila ditahan, kecuali seorang wanita berusia 40-an tahun, yang dipercayai warga Pakistan.Beliau beberapa kali cuba melarikan diri semasa para pegawai DPS dan Aetos membawanya ke van yang menanti di tempat meletak kereta pasar itu.Kemudian, wanita yang bercakap dalam bahasa Inggeris tetapi tidak lancar itu enggan masuk ke van dan merayu, sampaikan meraung, supaya dilepaskan.Selain wanita itu, seorang lagi wanita yang ditangkap dipercayai warga asing, berasal dari Malaysia, manakala dua lagi ialah warga setempat.Menurut jurucakap MCYS, pengemis warga Singapura akan dibawa langsung ke Rumah Tumpangan Angsana di Buangkok Green dan kes mereka akan disiasat sebelum bantuan yang sesuai dihulurkan.Pengemis warga asing pula akan terus dibawa ke Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) untuk dihantar balik ke negara asal mereka.Kebanyakan pelanggan dan pemilik gerai di pasar Geylang Serai yang menyaksikan operasi semalam rata-rata menyokong langkah penguatkuasaan itu.Malah, ada yang memberi kata-kata pujian kepada para pegawai MCYS dan Aetos yang menahan para pengemis, seolah-olah operasi itu satu acara sukan.Salah seorang pelanggan, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Mohamed, berkata: 'Syabas, bawa semua mereka pergi supaya mereka tak ganggu orang di sini.'Namun, tidak kurang juga yang bersimpati, termasuk Cik Aisyah, 40-an tahun.'Kasihan... mereka pun cari makan,' katanya, yang enggan memberi nama penuh.Namun, jurucakap MCYS menerangkan operasi itu lebih bertujuan membantu. Ini kerana walau mengemis salah dari sisi undang-undang, namun para pesalah dianggap sebagai golongan yang memerlukan bantuan.Menurutnya, warga Singapura yang dalam kesusahan tidak perlu mengemis kerana terdapat pelbagai sumber bantuan seperti Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), Pusat Khidmat Keluarga (FSC) dan pertubuhan akar umbi.Justeru, matlamat operasi semalam ialah untuk menyalurkan para pengemis tersebut kepada bantuan-bantuan yang sedia ada.Berkongsi perangkaan terkini pula, jurucakap itu berkata jumlah pengemis yang ditangkap MCYS meningkat sejak empat tahun lalu, daripada 70 pada 2006 kepada 109 tahun lalu.Tahun lalu, daripada jumlah itu, 47 adalah pengemis warga asing sementara 62 adalah warga setempat.Sementara itu, sejumlah 77 pengemis ditangkap pada 2008 merangkumi 34 warga setempat dan 43 warga asing.Jurucakap MCYS menambah, dalam operasi menahan pengemis, para pegawainya seolah-olah bermain permainan 'kucing dan tikus'.Menurutnya, para pengemis yang melihat 'teman' mereka tertangkap akan lekas beredar sambil memberitahu yang lain. Lantaran itulah, untuk menangani masalah tersebut penguatkuasaan saja tidak mencukupi.Anggota masyarakat dinasihatkan supaya tidak memberi wang kepada para pengemis. Sebaliknya mereka boleh menghubungi talian ComCare di 1800- 222-0000 supaya para pengemis itu boleh dibantu sewajarnya.Laporan tambahan:NORMAN SAWI(normans@sph.com.sg)




No comments:

Post a Comment