Monday, May 31, 2010

lagi buang bayi


Mayat Bayi ditemui dalam kotak

JOHOR BAHRU 30 Mei - Kes pembuangan bayi bagaikan tiada noktahnya apabila satu lagi mayat bayi perempuan ditinggalkan di dalam sebuah kotak di perhentian bas di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Kulai, di sini hari ini.
Mayat bayi itu ditemui orang awam yang melalui Jalan Air Hitam di sini, selepas melihat seorang lelaki menaiki sebuah kereta berhenti dan meletakkan kotak tersebut pada pukul 4.50 pagi.
Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Supritendan Zulkefly Yahya berkata, lelaki itu yang dilihat dalam keadaan mencurigakan kemudian secara tergesa-gesa meninggalkan kawasan tersebut.
"Orang awam yang curiga dengan kelakuan lelaki itu kemudian mendekati kotak berkenaan dan melihat terdapat mayat bayi perempuan dalam keadaan berselimut di dalamnya.
"Bayi perempuan yang dipercayai berketurunan Melayu itu kemudian dibawa ke Hospital Kulai tetapi disahkan telah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Zulkefly berkata, sehingga kini pihaknya belum membuat sebarang tangkapan berhubung penemuan mayat bayi tersebut.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat secara sulit.
Katanya lagi, sehingga kini polis telah mendapatkan keterangan daripada saksi berkenaan bagi membantu siasatan kes tersebut.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi Balai Polis Kulaijaya di talian 07 2212999 atau 07 6637222 bagi membantu siasatan," katanya.

No comments:

Post a Comment