Monday, May 31, 2010

Lelaki datang runding kahwin buat onar




AMPANG: Habis madu sepah dibuang. Perumpamaan itu tepat buat seorang lelaki apabila dia meratah tubuh teman wanitanya selepas berjanji akan mengahwini mangsa sebelum meninggalkan wanita terbabit keseorangan dan kini hamil lima bulan hasil hubungan terlarang mereka.
Malah, perbuatan terkutuk itu berlaku ketika lelaki terbabit menumpang rumah teman wanitanya selepas dia bertemu ahli keluarga mangsa untuk berbincang mengenai tarikh perkahwinan mereka.
Difahamkan, pasangan terbabit sudah tiga tahun menyemai cinta sebelum mereka akhirnya mengambil keputusan mendirikan rumah tangga.
Teman lelaki mangsa kemudian pergi berjumpa ahli keluarga teman wanitanya itu kononnya untuk berbincang berhubung perkahwinan mereka dan akhirnya mencapai kata sepakat untuk mengadakan majlis perkahwinan awal tahun depan.
Sejurus perbincangan, lelaki terbabit yang berasal dari Ipoh, Perak menumpang di rumah teman wanitanya itu dan ketika itulah dia membuat onar dengan menabur janji manis kepada mangsa dan mengajak mengadakan hubungan seks.
Mangsa yang terlalu percaya dengan janji lelaki itu akhirnya menyerah tubuh kepadanya sebelum dia akhirnya didapati mengandung.
Menurut sumber, mangsa hanya mampu mengikut kehendak teman lelakinya berikutan dia berjanji akan mendirikan rumah tangga dan bertanggungjawab sepenuhnya atas perbuatan itu.
Teman lelakinya juga memberitahu kepada mangsa supaya tidak risau kerana tarikh perkahwinan mereka sudah ditetapkan dan meminta mangsa mengadakan hubungan seks bagi menunjukkan kesetiaan cintanya.
Mangsa yang termakan pujuk rayu itu akhirnya menyerahkan mahkota yang dijaga selama ini kepada lelaki terbabit kerana terlalu sayang kepada teman lelakinya selain yakin mereka akan berkahwin, katanya.
Menurut sumber, selepas seminggu menetap di rumah teman wanitanya itu, lelaki terbabit akhirnya pulang ke kampung halaman dan berjanji akan datang semula untuk menghantar rombongan perkahwinan.
Namun, janji tinggal janji dan harapan menggunung teman wanitanya untuk mendirikan rumah tangga bersama kekasih hati itu mula samar apabila lelaki terbabit langsung tidak mahu menjawab panggilan telefon sejak dia pulang ke kampung.
Hampir setiap hari wanita berkenaan menghubungi teman lelakinya, namun jawapan yang diberikan sangat mengecewakan apabila lelaki terbabit tidak mahu bertanggungjawab dengan apa yang dilakukan, katanya.
Menurutnya, mangsa kini mula bimbang kerana dia sudah mengandung lima bulan namun teman lelakinya hanya lepas tangan dan langsung tidak mahu bertanggung jawab.
Lelaki terbabit turut mengatakan yang anak itu bukan dari benihnya dan mendakwa teman wanitanya menjalinkan hubungan dengan orang lain.
Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatan dirinya dan juga ahli keluarga.
Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment