Monday, May 31, 2010

Sultan: Pengamal media wajib teladani Rasullullah

Para pengamal media sewajibnya meneladani dan menghayati sifat-sifat unggul Nabi Muhammad SAW dalam memenuhi amanah dan tanggungjawab mereka menyampaikan maklumat kepada masyarakat, titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Baginda bertitah sifat-sifat siddiq, amanah, tabligh dan fatanah yang dimiliki oleh Rasulullah hendaklah dijadikan pegangan setiap pengamal media.

"Demikian pentingnya sifat kebenaran disemai dalam diri seseorang insan, dan menegakkan kebenaran itu amat penting dijadikan tonggak asas dalam memenuhi amanah dan tanggungjawab mengendalikan media," titah baginda pada majlis perasmian Muzakarah Ulama dan Cendekiawan Islam 2010 di Dewan Bankuet di Ipoh hari ini.

Selain menjadi sumber maklumat sangat penting bagi masyarakat, Sultan Azlan bertitah media turut mempunyai pengaruh dalam membentuk minda dan menyemaikan nilai sosio-budaya sesuatu masyarakat.

"Media berpotensi menjadi instrumen memupuk keharmonian, demikian juga sebagai instrumen mencetuskan persengketaan. Untuk itu maklumat yang disampaikan, hendaklah sentiasa menjunjung prinsip yang menghormati fakta dan mendukung kebenaran serta diuruskan dengan rasa penuh tanggungjawab," titah baginda.

- Bernama

No comments:

Post a Comment