Monday, May 31, 2010

Pecat jangan tak pecat


Murugesan mangsa terbaru Samy



KUALA LUMPUR 30 Mei – S. Murugesan menjadi ‘mangsa’ terbaru Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu apabila dipecat serta-merta daripada jawatan setiausaha agung parti berkuatkuasa hari ini.
Pemecatan tersebut dibuat Samy dua hari setelah Murugesan secara terbuka mengkritik ketuanya itu yang didakwa menggunakan kuasa untuk memecat empat ahli MIC termasuk dua anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti baru-baru ini.
Murugesan menjadi individu kelima dalam tempoh 11 hari yang dipecat, bermula dengan pemecatan Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan pada 20 Mei lalu diikuti Ketua MIC Bahagian Petaling Jaya Selatan, V. Subramaniam serta dua anggota CWC, K.P Samy dan G. Kumar Aamaan.
‘‘Saya melantik Ketua MIC Negeri Sembilan, Datuk T. Rajagopalu ke jawatan Setiausaha Agung MIC bagi menggantikan Murugesan.
‘‘Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk V.S Mogan pula dilantik sebagai Ketua MIC Negeri Sembilan yang baru dengan dibantu A. Ganesan sebagai timbalannya,’’ kata Samy Vellu dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Murugesan dalam tegurannya kelmarin mendakwa tindakan Samy Vellu menggunakan kuasanya bagi memecat sesiapa juga yang menentang beliau boleh menggoncang demokrasi dalam parti tersebut.
Menurut Murugesan, tindakan sedemikian adalah tidak wajar memandangkan kesemua mereka yang dipecat tidak diberi peluang untuk mempertahankan diri dan mengemukakan pandangan masing-masing.
Samy Vellu yang dihubungi bagi mendapatkan penjelasan mengenai pemecatan itu bagaimanapun enggan mengulas banyak.
‘‘Saya cuma membuat lantikan baru. Lebih dari itu saya tidak akan komen,’’ katanya ketika kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tindakan terbaru Samy Vellu memecat Murugesan hari ini agak menghairankan setelah beliau mengakui tidak berasa marah terhadap kritikan tersebut ketika berucap merasmikan Konvensyen MIC Negeri Sembilan semalam.
‘‘Tetapi saya harus katakan bahawa kamu telah melakukan kesilapan terbesar di dalam hidup kamu,’’ katanya kepada Murugesan yang turut hadir pada majlis itu.

No comments:

Post a Comment