|
|
KUANTAN 15 Jun - Ketika sebahagian besar masyarakat hidup selesa dengan pembangunan dan kemudahan yang disediakan, terdapat segelintir penduduk luar bandar yang tersisih daripada menikmati kemajuan tersebut.
Keadaan itu berlaku kepada penduduk Kampung Machang, Panching dekat sini yang tidak mendapat bekalan air paip selama lebih 50 tahun lalu.
Penduduk kampung tersebut masih menggunakan air Sungai Panching sebagai bekalan utama untuk melakukan kerja-kerja harian terutama membasuh pakaian, memasak dan mandi.
Tinjauan Utusan Malaysia di kampung itu hari ini mendapati penduduk terpaksa mengangkut air dengan baldi dari sungai itu ke rumah masing-masing setiap hari.
Ada juga yang membeli alat pengepam untuk mengepam air ke rumah masing-masing.
Sungai itu juga berisiko kerana ia agak dalam dan deras ketika musim hujan.
Seorang penduduk, Rahman Musa, 64, berkata, dia dan lapan keluarga lagi di kampung itu terpaksa menggunakan air sungai bagi melakukan rutin harian seperti membasuh dan memasak.
"Dahulu sungai tersebut bersih tetapi sekarang airnya tercemar kerana terdapat aktiviti kilang berhampiran sungai tersebut.
"Kilang-kilang akan melepaskan sisa buangan mereka terus ke sungai itu dan menyebabkan airnya tidak lagi bersih," katanya ketika ditemui di rumahnya di kampung berkenaan hari ini.
Menurut Rahman, kadangkala dia terpaksa mendapatkan air bersih daripada penduduk yang mempunyai bekalan daripada paip jika keadaan sungai sangat keruh dan kotor.
"Apabila musim hujan, keadaan sungai ini bertambah teruk dan airnya tidak boleh digunakan sama sekali.
"Kadang-kadang kami terpaksa menadah air hujan untuk mendapatkan air bersih," ujarnya.
Menurutnya, dia telah beberapa kali menghantar surat kepada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) berhubung masalah air yang dihadapi itu tetapi hingga kini masih tiada sebarang tindakan diambil.
"Dengan kemajuan teknologi yang ada sekarang, saya rasa keadaan seperti ini tidak seharusnya berlaku," katanya.
Tambahnya, pihaknya juga bimbang kerana sungai itu merbahaya terutama kepada kanak-kanak dan wanita.
''Kami bimbang kanak-kanak boleh terjatuh ke dalam sungai yang dalam dan deras itu," katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Rozaini Selamat, 44, berharap kerajaan negeri dapat menyegerakan pemasangan paip bagi membekalkan air bersih.
"Jarak sungai dari rumah saya sejauh 100 meter dan untuk mendapatkan air tersebut kami terpaksa menempuh bahaya dengan keadaan tebing yang licin dan tinggi.
"Dahulu sungai ini bersih sehingga boleh melihat ikan di dasar sungai malah airnya selamat digunakan.
"Sepatutnya keperluan rakyat mesti diutamakan selaras dengan gagasan 1Malaysia iaitu rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan tetapi kami di sini ketinggalan dari segi kemudahan asas," jelasnya.
Bagi Awa Abd. Rahman, 53, dia turut mengharapkan supaya mendapat kemudahan bekalan air bersih secepat mungkin.
"Air sungai yang keruh tidak boleh digunakan untuk membasuh dan memasak.
"Kalau mencuci pakaian, pakaian menjadi bertambah kotor kerana air yang keruh," jelasnya.
Awa turut bimbang akan mendapat penyakit jika kilang-kilang berhampiran membuang sisa toksik ke sungai itu.
"Saya juga risau keselamatan anak anak saya kerana keadaan tebing yang tinggi dan licin serta paras air sungai yang dalam," katanya.
No comments:
Post a Comment